utama

Taiko muda kalis lokap [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

PASIR GUDANG: Baru berusia 20-an tetapi sudah dianggap sebagai ‘taiko’ atau ketua dengan menjadikan sebuah restoran mamak sebagai port judi selain menyediakan khidmat tambah nilai ala pandu lalu buat kaki judi dalam talian.

Lelaki terbabit turut dibantu seorang remaja berusia belasan tahun menjalankan kegiatan haram mereka di restoran mamak di Bandar Seri Alam, Masai, dekat sini, sejak enam bulan lalu dan dilaporkan mampu mengaut laba antara RM8,000 hingga RM10,000 sehari.

Tugas mereka sungguh mudah iaitu menyediakan khidmat tambah nilai pertaruhan dan membayar kaki judi yang mahu menebus mata dimenangi dengan wang tunai.

Jadi tidak hairan jika ke restoran berkenaan akan kelihatan ramai kaki judi tekun dengan telefon bimbit masing-masing bermain permainan judi dalam talian.

Sebelum bermain judi, seseorang itu perlu memuat turun aplikasi permainan judi dan pada masa sama, lelaki berkenaan memberi kod khas yang boleh digunakan untuk menambah nilai atau menebus mata kemenangan.

Mereka sungguh berani melakukan kegiatan berkenaan di kawasan terbuka dan ini menguatkan dakwaan ada dalang melindungi kegiatan itu.

Berdasar risikan Skuad Khas Harian Metro, lelaki terbabit pernah ditahan polis namun dibebaskan pada hari sama selepas pihak berkuasa menerima aduan.

Kekebalan ‘taiko muda’ menjalankan aktiviti perjudian secara terbuka itu diadukan kepada Harian Metro oleh penduduk sekitar kawasan berkenaan yang tidak tahan dengan kewujudan kegiatan haram terutama membabitkan kaki judi remaja Melayu.

Bagi memastikan dakwaan itu, wartawan Skuad Khas Harian Metro turun ke daerah ini bagi melakukan tinjauan.

Pengadu yang mahu dikenali sebagai Rahmat, 50, berkata, sindiket judi itu sebelum ini membuka kedai judi berhampiran restoran mamak berkenaan.

Menurutnya, selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengisytiharkan perang kepada sindiket perjudian, semua kedai judi di Johor Bahru dan Pasir Gudang ditutup.

“Betul semua kedai judi di sini (Pasir Gudang) ditutup, cuma ‘taiko muda’ ini berani buat judi terbuka di kedai mamak. Payung besar dengarnya namun saya tidak boleh pastikan kesahihannya.

“Selain itu, dia juga sediakan khidmat pandu lalu untuk kaki judi tambah nilai. Bila menang datang semula (ke restoran) untuk cuci duit...kalau kalah tambah semula nilai pertaruhan dalam akaun,” katanya.

Wartawan Skuad Khas Harian Metro yang menyamar sebagai ‘kaki judi’ bertemu pemuda terbabit di restoran itu bagi menyertai pertaruhan anjurannya.

Sebagai muka baharu, pemuda itu mengarahkan pembantunya memuat turun aplikasi judi di telefon bimbit wartawan. Untuk rekod, semua gelagat wartawan dan kedua-dua ‘tauke judi’ itu dirakam jurugambar yang menyamar sebagai pelanggan di restoran berkenaan.

Selepas membayar wang pertaruhan RM100, akaun judi wartawan yang baru dimuat turun diaktifkan sebelum pemuda serta pembantunya mengarahkan wartawan membuat taruhan. “Bos boleh main, jika menang cari saya untuk cuci (tuntut wang kemenangan),” katanya.

Aplikasi perjudian dalam talian itu menawarkan pelbagai jenis judi popular seperti Jackport, Turfking, Fruit, Wukong, Ikan, Roulette, Black Jack dan lain-lain.

Pemerhatian wartawan mendapati kebanyakan kaki judi menggunakan telefon bimbit dan tablet untuk melakukan pertaruhan.

Kewujudan pandu lalu seperti didakwa Rahmat memang benar wujud. Kenderaan seperti kereta dan motosikal berhenti di lorong belakang restoran untuk urusan tambah nilai atau menuntut wang kemenangan.

Untuk rekod, restoran berkenaan beroperasi 24 jam sehari namun ‘taiko muda’ dan pembantunya itu menjalankan kegiatan haram mereka bermula jam 10 pagi hingga lewat malam.

Hasil pemerhatian wartawan juga mendapati aktiviti haram di premis berkenaan turut disedari pemilik dan pekerja restoran itu yang turut dirakam berbual dengan pemuda terbabit.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 11:01am
d