utama

Adib tetap kritikal

Oleh Norrasyidah Arshad

MUHAMMAD ADIB Mohd Kassim, anggota bomba yang parah dipukul perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu, tetap dalam keadaan kritikal, walaupun stabil.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, Muhammad Adib, 24, masih menggunakan bantuan mesin bagi menstabilkan organ dalamannya.

“Muhammad Adib boleh berkomunikasi tetapi kita tidak benarkan sesiapa masuk.

“Rawatan doktor pakar masih berterusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara JBPM dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya berharap mendapat petanda positif mengenai laporan tahap kesihatan Muhammad Adib daripada doktor pakar di Institut Jantung Negara (IJN) yang merawatnya dalam tempoh dua hari lagi.

Katanya, rumusan tahap kesihatan itu penting bagi memastikan pihaknya dapat melawat Muhammad Adib bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku terhadapnya.

“Kita sebenarnya berminat selepas dia boleh memberikan isyarat dan boleh menulis yang ertinya banyak perkara boleh dikaji dan didengar daripada dia sendiri (berhubung kejadian menimpanya semasa rusuhan itu).

“Muhammad Adib mempunyai semangat yang dan mendapat sokongan daripada keluarga serta tunangnya,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil berkenaan

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 2:33pm
d