utama

Semoga bahagia sampai akhir hayat

Oleh Mohamad Hussin

“PERTAMA kali bertentang mata dengan suami ketika kami menetap di flat sama tujuh tahun lalu. Kami kerap terserempak kerana dia tinggal di tingkat empat, manakala saya di aras dua.

“Waktu itu, saya belum peluk Islam dan hati saya terbuka menerimanya selepas mendapati suami lelaki yang bertanggungjawab,” kata mualaf yang juga wanita kerdil Nur Aisyah Lee Thor, 37.

Wanita itu selamat diijab kabul dengan pasangannya yang juga lelaki kerdil, Mohd Badlishah Katherbashah Maricca, 40, dalam majlis yang berlangsung di flat Seri Delima, Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Ahad lalu.

ur Aisyah yang memeluk Islam pada April 2016 berkata, sejak pertemuan itu, dia dan suami saling mengenali hati budi masing-masing hingga mendorong mereka merancang untuk berumah tangga.

“Kebetulan suami menjalankan perniagaan kecil-kecilan iaitu menjual makanan ringan di bawah flat. Saya kerap singgah ke gerainya dan timbul perasaan ingin berkenalan dengan lebih dekat.

“Selepas tujuh tahun berkenalan dan saya pun memeluk Islam dan akhirnya kami dengan persetujuan keluarga memutuskan untuk disatukan.

“Ini dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan kerana dia mempertemukan kami,” katanya.

Menurutnya, sebelum memeluk Islam, mendapatkan bimbingan daripada Hidayah Centre Foundation (HCF) Pulau Pinang, untuk mendalami ilmu agama dan hatinya terbuka menerima Islam.

“Suami banyak memberi dorongan dan semangat. Memang pada mulanya hubungan kami mendapat tentangan keluarga, namun selepas melihat saya dan suami ikhlas berkawan mereka memberikan restu.

“Persahabatan kami kekal sehingga perasaan cinta berputik beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, saya bertuah dan amat gembira kerana dia sudi menerima saya.

“Saya berazam mahu jadi isteri yang baik. Kami bersyukur majlis berjalan lancar dan berharap ikatan ini kekal sampai akhir hayat,” katanya.

Anak ketiga daripada lima adik-beradik itu berkata, selepas ini dia bercadang mengikuti kelas al-Quran di HCF Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohd Badlishah yang juga anak sulung daripada lima adik-beradik meluahkan rasa syukur bertemu jodoh dengan Nur Aisyah.

Manakala Eksekutif Dakwah HCF Pulau Pinang, Nazirah Nantha Kumari Abdullah berkata, pihaknya bercadang menaja percutian berbulan madu pasangan berkenaan.

“HCF menawarkan kelas fardu ain kepada saudara baru termasuk mereka yang menunjukkan minat mendalami Islam,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 10:01pm
d