utama

Lia nak jadi kebanggaan anak negeri

JIKA diteliti, belum ada lagi nama pelakon kelahiran Sabah yang benar-benar berjaya memahat nama kukuh sebaris nama handalan dalam industri perfileman tempatan.

Oleh itu, Lia Natalia yang berasal dari Tawau berazam menjadi pelakon pertama kebanggaan negerinya sepanjang masa.

Lia, 26, kini mempersiapkan dirinya menjadi pelakon hebat.

Menurut pelakon Isteri Bukan Untuk Disewa itu, dia enggan lagi berada di zon selesa kerana mahu berada dalam industri seni lakon untuk tempoh yang lama.

“Setakat ini belum ada lagi pelakon dari Sabah yang benar-benar berjaya sebaris dengan pelakon handalan lain.

“Kalau penyanyi memang sangat ramailah yang namanya menjadi sebutan ramai. Bagaimanapun, saya perlu memberi pujian kepada rakan seperjuangan seperti Bella Dally dan Marsha Milan yang terus berjuang dalam dunia lakonan.

“Saya dapati ada peluang yang cerah untuk menonjol dalam bidang ini jika gigih berusaha. Lagipun, saya tidak mahu main-main dalam bidang ini.

“Saya sangat berharap suatu hari nanti akan dapat membanggakan Sabah sebagai pelakon yang disanjung tinggi. Itulah impian yang menjadi kekuatan saya untuk bertahan sehingga hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Lia juga berusaha melakukan perubahan terutama fizikal dan penampilannya demi terus kekal relevan.

“Usaha mencari tawaran berlakon saja tidak cukup. Jika mahu bersaing dengan lambakan pelakon sedia ada, saya sedar penampilan juga perlu dititikberatkan,” katanya.

Enggan namanya ketinggalan dalam bidang yang diceburi, Lia sanggup bekerja keras untuk menurunkan berat badan hingga berjaya mengurangkan 20 kilogram dalam tempoh empat bulan.

Sepanjang tempoh itu dia menjaga disiplin dengan mengawal pemakanan, bersenam dan mengambil produk kurus.

“Sejak awal tahun ini, saya nekad melakukan perubahan. Saya mahu memperbaiki imej dan memastikan diri kekal relevan dalam industri hiburan.

“Berbanding rakan seangkatan, Janna Nick nama saya jauh ke belakang. Jadi, saya tidak mahu terus berada di belakang dan berusaha untuk mengubah penampilan.

“Memang susah tetapi saya bangga dengan usaha ini kerana selain berjaya menurunkan berat badan, saya juga memotong pendek rambut. Selain itu saya akan mencantikkan gigi pula selepas ini,” katanya.

Pelakon drama Isteri Untuk Disewa itu juga mengakui perubahannya itu dapat membuka lebih banyak peluang pada masa depan.

“Saya pernah berdepan saat sukar apabila langsung tiada tawaran berlakon. Ia menyebabkan saya kecewa dan sering termenung mengenang nasib diri.

“Namun, keadaan itu membuka mata saya dan usaha ini membuahkan hasil apabila tidak menang tangan menyambut tawaran yang datang. Selain lakonan saya turut aktif dalam bidang pengacaraan,” katanya. -Georgie Joseph

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 5:30am
d