utama

Dah mengaku, kena bunuh pula!

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DIPAKSA mengaku ‘songlap’ duit, sebelum dipukul sehingga mati. Itu tindakan kejam sindiket judi dalam talian sehingga membawa kepada kematian seorang lelaki di Taman Perling, Johor Bahru, Ahad lalu.

Ia terbongkar selepas polis menahan tiga lelaki di sekitar Skudai, antara jam 1 hingga 2 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 31 tahun itu mengaku terbabit dalam kes berkenaan.

“Kami juga mendapati motif pembunuhan disebabkan penyelewengan wang dalam sindiket judi dalam talian,” katanya.

Pada kejadian Ahad lalu, mangsa yang berusia 20 tahun dan berasal dari Pulau Pinang ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Taman Perling.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Kamaluddin berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan menemui kesan lebam di kedua-dua belah kaki, tangan dan belakang badan.

“Punca kematian adalah kerana pelbagai kecederaan pada tisu lembut mangsa akibat pukulan secara berterusan di kedua-dua kaki dan tangan menggunakan objek tumpul,” katanya.

Menurutnya, ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah Proton Inspira dipercayai digunakan suspek untuk menghantar mangsa ke hospital.

Selain itu, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang rotan dipercayai digunakan untuk memukul mangsa dan pakaian suspek pada hari kejadian.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 4:44pm
d