utama

'Terima kasih selamatkan kami, Ultras Malaya' [METROTV'

Oleh Aziman Rosdi di Hanoi

TINDAKAN berani sekumpulan penyokong Malaysia termasuk Ultras Malaya berjaya menyelamatkan isteri jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe, Jocelyn Tan daripada detik mencemaskan ketika cuba memasuki Stadium Nasional My Dinh, malam tadi.

Dalam insiden yang berlaku 7 malam itu, kenderaan yang dinaikinya bersama keluarga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dirempuh penyokong Vietnam ketika terperangkap di luar stadium.

Ia berlaku selepas kenderaan van 16 penumpang yang mereka naiki gagal mengikut kenderaan pengiring dari belakang akibat kesesakan yang teruk sebelum aksi final kedua Piala AFF bermula 8.30 malam.

Jocelyn yang menceritakan detik cemas itu berkata, sekumpulan Ultras Malaya melindungi van mereka daripada terus dirempuh ribuan penyokong Vietnam yang berang kerana menghalang perjalanan mereka masuk ke stadium.

“Saya  nak ucapkan terima kasih buat Ultras Malaya sebab selamatkan kami, beri kami laluan terutama ketika cuba melindungi kenderaan kami daripada diasak penyokong Vietnam. Saya sangat terharu,” katanya yang pertama kali mengikuti suaminya ke perlawanan di tempat lawan.

“Walaupun kira-kira setengah jam kami terperangkap, mereka (Ultras Malaya) buat kami rasa selamat.”

Sementara itu, seorang penyokong Ultras Malaya, Faizal Osman yang berada di tempat kejadian mengakui cuba membantu selepas mengetahui isteri dan anak-anak Hamidin menaiki kenderaan itu.

“Apabila kami tahu ada ahli keluarga presiden FAM dalam kereta itu, kami cuba menghalang rempuhan penyokong Vietnam yang ingin masuk ke dalam stadium.

“Mujur tiada di antara kami yang kena pukul teruk, cuma ada yang mengasak-asak kami, tolak-tolak dan ada juga yang kena baling botol.

“Tapi kami rasa ini tugas kami untuk melindungi orang kita, lagi-lagi bila tahu ada keluarga presiden FAM di dalamnya (kereta). Kami cuba membuka laluan kepada kereta itu untuk keluar dan akhirnya berjaya,” katanya.

Dalam insiden itu juga, seorang jurugambar dari Malaysia, Khairil Jaafar mengalami kerugian RM800 selepas peralatan kamera miliknya rosak ketika diasak penyokong Vietnam.

“Memang ketika kejadian itu saya berada hampir dengan kenderaan yang membawa isteri jurulatih Cheng Hoe dan keluarga presiden FAM. Memang situasi agak teruk sehingga rosak ‘flash’ kamera saya,” katanya.

Pada aksi final kedua Piala AFF itu, tuan rumah Vietnam menang 1-0 ke atas Malaysia untuk bergelar juara menerusi agregat 3-2.

 

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 4:06pm
d