utama

Ketuk dram terapi Yazit

Oleh Ramlah Zainal

WALAUPUN uzur dan terpaksa bertongkat kerana tahap kesihatan kurang mengizinkan, bekas pemain dram Search, Yazit Ahmad, 55, tidak pernah mengalah untuk terus berjuang dalam bidang muzik yang sudah sebati dengannya.

Baginya, selagi kudrat mengizinkan, dia akan terus bekerja termasuk memenuhi undangan persembahan untuk menyara keluarga­nya.

“Saya akan meneruskan perjuangan dalam bidang muzik dan terus berkarya selagi ada kemampuan diri. Muzik adalah terapi untuk saya melawan penyakit sejak dua tahun lalu.

“Saya juga tiada pendapatan tetap sejak disahkan mengalami masalah buah pinggang. Justeru, pergerakan terbatas dan saya tidak boleh lasak seperti ketika sihat dulu,” katanya.

Bagaimanapun, Yazit bersyukur kerana banyak pihak membantu terutama rakan artis, sekali gus meringankan beban yang ditanggungnya ketika ini.

“Alhamdulillah, ramai pihak terutama rakan artis yang prihatin dan sudi membantu serta meri­ngankan beban yang ditanggung bersama keluarga ketika ini. Saya juga perlu bekerja untuk menampung diri dan keluarga kerana tidak mahu mengharapkan bantuan rakan artis semata-mata,” katanya.

Mengenai tahap kesihatannya pula, kata Yazit, dia masih menjalani rawatan dialisis di pusat perubatan di Batu Caves sejak dua tahun lalu.

“Saya masih berulang-alik ke pusat perubatan itu untuk rawatan dialisis dan berjumpa doktor tiga bulan sekali. Ia rutin saya sekarang. Rawatan dialisis juga membantu saya lebih sihat untuk bekerja. Selain makan ubat dan berehat, saya juga perlu menjaga pemakanan,” katanya.

Ditanya mengenai kumpulan yang ditubuhkannya iaitu Rampage, Yazit berkata, dia terpaksa memperlahankan seketika aktiviti persembahan bersama kumpulan itu ketika ini.

Duta Uptown M3 Mall

“Ini kerana muzik Rampage agak berat dan tidak sesuai dengan tahap kesihatan saya sekarang. Anggota kumpulan ini juga memahami keadaan saya ketika ini.

“Apapun, saya turut diundang membuat per­sembahan dengan kumpulan As Salam yang muziknya lebih perlahan dan lagunya juga bercorak kerohanian,” katanya.

Selain Yazit, Rampage dianggotai Moq (penyanyi), Zham (bass), Jemboo (gitar) dan Rithan (gitar).

Rampage adalah kumpulan yang ditubuhkannya 17 tahun lalu ketika Search dibubarkan.

Penderitaan Yazit ter­nyata mendapat perhatian ramai pihak.

Terbaru, dia dilantik sebagai duta Uptown M3 Mall, Taman Melati,

Kuala Lumpur dan me­ngikat kontrak selama lima tahun.

Menurut Yazit, dia juga mengalu-alukan artis lama dan baru untuk membuat persembahan busking di situ.

“Peralatan pentas yang lengkap juga disediakan buat mereka. Pihak Uptown M3 Mall juga mengalu-alukan artis yang ingin menjual produk atau perkhidmatan dengan menyediakan gerai Celebrity Corner dan Celebrity Street pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak Double Twos Resources juga membuka peluang kepada mana-mana peniaga yang berminat untuk menjual produk mereka seperti makanan, pakaian dan aksesori.

Pada masa sama, peniaga juga berpeluang beramal bersama Yazit yang turut bersama buskers untuk membuat persembahan di situ.

Sambil membeli bara­ngan keperluan dan berhibur, orang ramai juga boleh menderma seikhlas hati setiap kali menyaksikan persembahan artis.

Selain Yazit, sumbangan juga akan disalurkan kepada artis lain yang memerlukan bantuan. Program ini turut mendapat soko­ngan daripada Konsortium industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama).

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 7:34am
d