utama

Berani lawan badai

Oleh Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Demi menyara keluarga, ada nelayan di Beserah, di sini yang sanggup meredah ombak besar dan angin monsun untuk menangkap ikan di laut.

Seorang daripadanya, Aziz Mamat, 73, yang memberitahu rutin itu tetap diteruskan walaupun terdedah bahaya sepanjang berada di laut pada musim tengkujuh ini.

Katanya, dia dan rakan nelayan lain hanya memberanikan diri kerana itulah pekerjaan perlu dilakukan untuk menyara keluarga.

“Jika tak ke laut, pendapatan akan terjejas, maka kena beranikan diri untuk turun ke laut pada musim tengkujuh ini.

“Kebanyakan nelayan lain tidak berani kerana risikonya lebih tinggi jika ke laut pada musim ini, tetapi bagi saya ombak besar dan angin kencang bukan halangan.

“Punca rezeki ini tetap perlu diteruskan demi keluarga,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Beserah di sini, semalam.

Aziz berkata, setiap kali musim tengkujuh pendapatannya bertambah hingga dua kali ganda selepas menaikkan 50 hingga 100 kilogram ikan seperti kembung, tenggiri dan cencaru sehari.

Dia yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai nelayan pantai lebih selesa ke laut secara berkumpulan dan mereka bergerak seawal jam 7 pagi hingga 5 petang.

“Ia supaya kami dapat saling membantu sekiranya berlaku masalah. Sebelum ini saya pernah terkandas tiga hari di laut disebabkan enjin bot rosak.

“Pernah juga berlaku bot gentian kaca terbalik yang memaksa saya berenang beberapa kilometer untuk mendapatkan pertolongan nelayan lain selain bot pernah dirempuh bot nelayan lain yang hampir meragut nyawa dan rugi besar,” katanya.

Rakannya, Aziz Razali, 48, berkata, hanya mereka yang berani dan cekal hati saja mampu mengharungi lautan yang bergelora untuk mencari rezeki setiap kali musim tengkujuh.

“Bagaimanapun, kami tidaklah ke tengah laut sangat atau jarak yang jauh kerana mengelak kejadian tidak diingini.

“Lagipun ketika tengkujuh, ikan banyak pada jarak 50 ke 100 batu nautika daripada pesisir. Memadai untuk kami,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 8:22am
d