utama

'Saya yang salah' - Suami Elvina

Oleh Amirul Haswendy Ashari

SUAMI pelakon Datin Elvina Mohamad, Datuk Haniff Borhan dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini, mengakui dakwaan wujudnya pihak ketiga dalam perkahwinan mereka adalah kerana kesalahannya sendiri.

“Isteri saya dan wanita itu tidak salah dan yang salah adalah saya kerana tidak menerangkan betul-betul perkara yang berlaku.

“Selepas kes ini kecoh di media, saya ada menghubungi pihak wanita itu untuk menjernihkan ketegangan," katanya yang turut memujuk isteri.

Katanya, isu ini adalah bersifat salah faham antara dua pihak.

Hanif mendakwa, pada awal dia beranggapan wanita itu mendengar permohonan mereka untuk berdiam diri supaya situasi jadi reda kerana yakin masalah yang timbul akan selesai selepas bertenang.

“Tetapi bila kawan-kawannya mendesak, mengeluarkan kenyataan yang bodoh, membakar lagi sentimen membenci antara kami.

“Isteri saya sudah menerima permohonan maaf saya kerana masalah ini saya yang cipta,” tulis Haniff.

Menerusi perkongsian usahawan muda itu, beliau mengakui pernah menghubungi wanita itu melalui laman sosial untuk berbincang mengenai skim insurans untuk anak mereka, Karl Marteen.

Bagaimanapun, perbualan itu disalah erti apabila wanita itu menghantar tanda berbentuk ‘LOVE’ kepada Haniff.

“Ya, saya ada DM (direct message) dengan wanita itu dan boss dia juga kenalan saya.

"Rumusannya, saya mudah rapat dan mesra dengan sesiapa pun," tulisnya lagi.

Haniff turut mendedahkan perbualan mereka bermula bila wanita itu memuat naik status menjual insurans kepada umum.

Selepas berborak, beliau menghantar gambar anaknya yang baru lahir dan wanita itu pun membalas dengan emotikon ‘LOVE’.

“LOVE itu ditujukan kepada anak saya kerana dia comel dan wanita itu berhasrat mahu menjaga berkenaan insurans Karl Mateen,” jelas Hanif panjang lebar.

Sebelum ini, Elvina Mohamad dipercayai mengamuk apabila wujud dakwaan pihak ketiga dalam rumah tangga mereka.

Pelakon itu mendakwa, isu bermula apabila wanita dikenali sebagai Fify dipercayai cuba merampas suaminya.

Elvina yang sedang berpantang selepas melahirkan anak pertama pada 1 Disember lalu memuat naik status berkenaan di InstaStory miliknya, semalam.

Manakala dalam InstaStory terbaru Elvina hari ini, pelakon itu menafikan dakwaan sengaja mencari publisiti sebaliknya tindakannya itu untuk memberitahu tindakan wanita itu adalah salah.

Malah ia juga sebagai peringatan kepada wanita lain di luar sana agar jangan memberi alasan kerana setiap tindakan salah dilakukan pasti ada kesan kepada orang sekeliling.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 4:09pm
d