utama

'Jieha ok, sorry na...' - kakak tunang Adib

Oleh Suzalina Halid

“JIEHA (Nurul Najihah) okey, sorry na dan terima kasih kerana memahami,” kata kakak kepada tunang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Nurul Najwa Mohd Radzi, ketika ditanya berhubung keadaan adiknya itu.

Nurul Najwa membuat kenyataan ringkas itu ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp selepas ditanya mengenai keadaan adiknya, Nurul Najihah, 25, susulan kematian Muhammad Adib yang parah akibat dibelasah perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, bulan lalu.

Katanya, Nurul Najihah, kini hanya memerlukan ruang untuk menenangkan fikiran dan berehat susulan keadaan yang menimpa dirinya itu.

Nurul Najwa berkata, majlis perkahwinan adiknya itu pada hujung minggu ini dibatalkan dan ahli keluarganya mahu berehat selepas kejadian berkenaan.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan di itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam Isnin lalu.

Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil berkenaan pada 27 November lalu.

Nurul Najihah menerusi entri dalam laman sosial Instagram miliknya kelmarin turut meluahkan rasa sedih atas pemergian bakal suaminya itu di saat menjelang hari pernikahan yang sudah dirancang sebelum ini.

“Al-Fatihah Kudip (Muhammad Adib). Esok (semalam) kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk wedding (perkahwinan) kita.

“Ya abang. Kita balik sama-sama. Patutnya kita balik drive (berkereta). Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku,” catatnya dengan memuat naik gambar kad jemputan perkahwinan mereka yang bertarikh 22 Disember.

Sementara itu, Nurul Najwa mengakui sebahagian kad jemputan majlis perkahwinan adiknya itu sudah diedarkan, namun enggan mengulas lanjut termasuk persiapan pihak keluarganya.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 10:48pm
d