utama

Berkorban cuci luka ayah

Oleh Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: Kasih sayang tidak berbelah bahagi membuatkan seorang anak sanggup melakukan pelbagai kerja dalam usaha menampung kos rawatan dan mencuci luka bapanya yang menghidap kencing manis.

Shuhazlin Safinaz Mohd Shuhardi, 25, bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai selain menjual kalendar dan sarung telefon bimbit menggunakan platform media sosial.

Bagi menambah pendapatan, Shuhazlin memanfaatkan masa terluang pada waktu malam atau hujung minggu dengan bertugas sebagai sukarelawan polis dan menerima elaun sebanyak RM200 sebulan.

Bukan itu saja, anak ketiga daripada empat adik-beradik ini juga berkorban dengan menangguhkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) akibat masalah kewangan selain perlu bergilir-gilir menguruskan bapanya.

Dia memberitahu bapanya, Mohd Shuhardi Md Jelas, 61, lumpuh sejak 14 tahun lalu sebelum mengalami jangkitan kuman akibat kencing manis, Ogos lalu.

“Ayah pada mulanya menggaru bahagian betis yang mengalami kegatalan akibat digigit nyamuk, tapi lama-kelamaan luka itu bengkak dan bernanah.

“Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang dan menjalani pembedahan bagi membuang bahagian daging yang membusuk.

“Doktor memberitahu bahagian luka itu perlu dijaga dengan baik dan jika tidak, kaki ayah terpaksa dipotong,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya, kos untuk mencuci luka pada kaki bapanya sepanjang 45 sentimeter itu dianggarkan RM2,000 sebulan.

“Kami cuba memohon bantuan daripada pihak berkaitan untuk tampung kos membeli keperluan perubatan ayah seperti Aquacel Convatec (plaster berubat buatan United Kingdom) berharga RM28 sekeping namun difahamkan tiada peruntukan untuk itu.

“Jadi, buat masa ini kami mengharapkan ihsan dan sumbangan ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan.

“Plaster ini bagus, ia membantu menyerap nanah dan mengeringkan luka dengan cepat namun masalahnya kami tidak mampu menampung kosnya yang mahal,” katanya.

Katanya, dia menggunakan kemahiran yang ada untuk menghasilkan sendiri rekaan hiasan pada sarung telefon dijual pada harga RM28 setiap satu.

Sementara itu, ibunya turut berusaha menambah pendapatan dengan menjaja kuih-muih secara kecil-kecilan.

“Bantulah kami kerana hasil jualan itu digunakan 100 peratus untuk menampung kos perubatan ayah saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga terbabit boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank milik Shuhazlin Safinaz, 7619756705.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 8:11am
d