utama

Tekad PS4 adik Irfan

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: “Sebagai kakak, saya kagum dengan kesungguhannya mengumpul wang bagi mendapatkan apa diinginkan tanpa terlalu mengharapkan ibu dan ayah,” kata Nur Farhana Iliasa’, 20.

Dia berkongsi kisah adiknya, Muhammad Irfan Ansari, 12, membeli permainan video Sony Play Station 4 (PS4) menggunakan wang kertas RM1 berjumlah RM600 di Twitter, baru-baru ini.

Perkongsian Nur Farhana itu mendapat 16,300 tanda suka dan 14,800 menciap ulang (retweet) daripada pengguna laman sosial berkenaan.

Bercerita lanjut, Nur Farhana berkata, Muhammad Irfan yang juga murid Sekolah Kebangsaan Haji Hussin Doll, Guar Chempedak, Kedah sudah lama menyuarakan keinginan untuk membeli permainan video berkenaan.

Namun, katanya, hasrat Muhammad Irfan tertangguh kerana mengikut nasihat ibu yang mahu adiknya itu memberi tumpuan kepada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, adik bongsunya tetap berusaha mendapatkan permainan video berkenaan dengan menyimpan wang sejak Januari lalu.

“Saya sedar kecenderungan adik terhadap permainan itu sejak dua tahun lalu selepas melihat kekerapannya bermain di tablet sebelum ini.

“Disebabkan itu, saya tidak hairan apabila dia sanggup menyimpan lebihan wang belanja sekolah selain menyewakan komik kepunyaannya dengan kadar 50 sen sehari kepada rakan untuk memastikan impiannya itu tercapai.

“Wang itu disimpan sejak Januari lalu dan kesungguhannya berhasil apabila mengumpul RM750,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya, apa yang mendorongnya berkongsi kisah Muhammad Irfan di Twitter kerana melihat kesungguhan adiknya membeli PS4 menggunakan wang kertas RM1.

Dia memberitahu tindakan adiknya itu agak melucukan namun sebagai kakak, dia berbangga dengan sikap Muhammad Irfan yang sejak dulu gemar berdikari berbanding meminta-minta.

“Sabtu lalu, kami sekeluarga ke pusat beli-belah dan ketika di sana kami singgah ke kedai menjual permainan video untuk memeriksa harga PS4.

“Kebetulan adik membawa wang simpanan bersama, tetapi tidak cukup kerana hanya ada RM600 sedangkan harga PS4 berkenaan adalah RM1,349,” katanya.

Bagi meraikan dan memberi ganjaran kepada Muhammad Irfan yang memperoleh 5A dan 1B dalam peperiksaan UPSR lalu, ibu mereka, Rozimah Mohd Zain dan bapa Iliasa’ Omar sepakat membayar sebahagian harga PS4 berkenaan iaitu RM749.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 8:26am
d