utama

Badal haji, sedekah atas nama Adib

Oleh Aizat Sharif

KELUARGA Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bercadang untuk melaksanakan ‘badal haji’ (upah haji) untuk anggota bomba terbabit sebagai menghargai sumbangan yang tidak putus diberikan orang ramai kepada keluarga itu.

Ibu kepada Muhammad Adib, Asma Aziz, 51 berkata, pihaknya sangat menghargai sumbangan, bantuan dan doa seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus memberi semangat kepada mereka dalam menghadapi dugaan berkenaan.

“Saya bercadang untuk melaksanakan badal haji untuk arwah (Muhammad Adib) dan bersedekah atas nama dia kepada badan kebajikan dan mereka yang memerlukan.

“Selain itu juga, Masjid As-Saadah Kampung Tebengau ini juga dalam proses membaiki dan menaik taraf dan kemungkinan sejumlah sumbangan akan diberikan juga atas nama Muhammad Adib,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Kutipan Tabung #SaveAdibKassim yang juga inisiatif oleh syarikat penerbitan di kediaman Allahyarham di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, kutipan sebanyak RM47,209.64 disampaikan menerusi cek oleh Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah kepada bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid sambil disaksikan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hassan As’ari Omar.

Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, tabung berkenaan dibuka kepada orang ramai hampir tiga minggu lalu selepas Muhammad Adib dimasukkan ke hospital akibat kecederaan dialaminya.

“Tujuan asal kutipan tabung ini adalah untuk menampung perubatan Muhammad Adib, namun Allah lebih menyayanginya.

“Kita sampaikan setiap sen yang disumbang ini kepada keluarganya bagi kegunaan sebaik mungkin seperti bersedekah atas nama Muhammad Adib,” katanya.

Selasa lalu, jenazah Muhammad Adib, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, di sini kira-kira 1.45 tengah hari dengan disaksikan ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk.

Sebelum itu, jenazah tiba di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, di sini dengan dibawa dengan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Pangkalan Udara JBPM, Subang, Selangor.

Jenazah kemudian dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Tebengau sebelum dibawa ke Masjid As-Saadah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah itu untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan sejurus selepas itu.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 4:59pm
d