utama

Didera, digari kerana mahu lari

Oleh Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin

DIJANJIKAN pekerjaan sebagai tukang taip, namun sebaliknya dipaksa bekerja sebagai pengendali operasi judi dalam talian yang menyasarkan pemain judi dari China.

Itu nasib dua lelaki warga China berusia 20-an yang turut didera sindiket terbabit sebelum mereka diselamatkan pihak polis dalam serbuan di banglo mewah empat tingkat di Taman Equine, Seri Kembangan, 4 petang semalam.

Menurut seorang daripada mangsa yang didera itu, dia memaklumkan terlihat notis menawarkan pekerjaan sebagai tukang taip di media sosial ketika berada di China pada awal November lalu.

Katanya, dia ditawarkan gaji sebanyak 7,000 yuan (RM4,257.33) sebulan sebelum datang ke Malaysia pada hujung November lalu.

“Sebaik tiba di sini, saya dapat tahu ditipu dan mahu pulang ke China kerana tidak mahu bekerja menyebabkan saya dan rakan cuba untuk melarikan diri dari rumah berkenaan, namun dipukul kerana ‘memberontak’.

“Pasport saya dan rakan turut dirampas sindiket terbabit,” katanya ketika ditemui di banglo mewah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan sindiket itu yang menjadikan banglo mewah berkenaan sebagai pusat operasi judi dalam talian sejak hampir sebulan lalu.

“Pemeriksaan lanjut menemui 32 warga asing termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 52 tahun di dalam rumah itu yang bekerja sebagai pengendali operasi judi dalam talian.

“Malah, kami turut menyelamat dua lelaki warga China yang ditemui dalam keadaan bergari pada katil sebuah bilik dengan kesan dera di bahagian tangan dan muka,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, malam tadi.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu meraih kutipan pertaruhan daripada pemain judi dalam talian dari China yang dianggarkan kira-kira RM15 juta sepanjang tempoh beroperasi sejak pertengahan November lalu.

“Modus operandi sindiket ini adalah mempromosi laman sesawang judi dalam talian di China menerusi aplikasi WeChat.

“Siasatan mendapati pemain judi terbabit berasal dari China berdasarkan penemuan kad ATM daripada pelbagai bank komersial di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 16 komputer, modem, kad ATM daripada pelbagai bank komersial di China dan alat penerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan termasuk mengenal pasti dalang sindiket judi dalam talian itu serta pemilik rumah ini yang dijadikan pusat operasi kegiatan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 12:39am
d