utama

Nissa 'jantung' Sabyan Gambus

Oleh Norhayati Nordin

BARU empat tahun aktif memperjuangkan lagu kerohanian, kumpulan Sabyan Gambus dari Indonesia kini semakin berjaya dan terkenal.

Malah, penyanyi utamanya, Nissa Sabyan, 19, begitu popular hingga tempias itu secara langsung terpalit sama pada kumpulan ini.

Populariti Sabyan Gambus yang terarah kepada Nissa atau nama sebenarnya Khoirunnisa Komarudin diakui anggota lain.

Selain Nissa, Sabyan Gambus dianggotai Ahmad Fairuz atau Ayus selaku pemain keyboard, Anisa Rahman (vokal kedua), Tubagus Syaifullah (Tebe, pemain biola), Sofwan Yusuf (Wawan, perkusi) dan Kamal (darbuka).

Ditemui pada sidang media sempena promosi Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia 2019, kelmarin, Ayus berkata, dia bersama rakan yang lain semakin teruja untuk menghiburkan peminat di negara ini.

“Konsert ini adalah yang pertama buat kami di luar Indonesia dan kemudiannya kami dijangka ke Hong Kong pula. Syukur, jika semuanya lancar jadual aktiviti nyanyian Sabyan Gambus sudah diisi hingga Jun 2019. Boleh dikatakan, begitu padat,” katanya mengenai konsert yang akan berlangsung pada 12 Januari 2019 di Stadium Malawati Shah Alam.

Mengulas mengenai populariti Nissa yang lebih menyerlah berbanding anggota lain, Ayus mengakuinya tanpa berselindung.

“Ya, memang betul. Saya sedar dalam kumpulan Sabyan Gambus, Nissa lebih popular berbanding kami. Apa pun, kami tetap bersyukur. Dengan populariti Nissa, diakui banyak membantu perjuangan muzik kerohanian Sabyan Gambus yang menjurus pada lagu-lagu selawat dan diminati ramai.

“Kami melihat positif perkara ini. Namun jika ditanya pesona dan aura Nissa yang membuatkan dia lebih jadi perhatian, sukar untuk dijelaskan. Untuk saya, jika dikatakan cara fesyen Nissa yang menarik perhatian dan perwatakan dirinya, saya fikir ada selebriti lain lebih menyerlah,” katanya.

Menurut Ayus, apa pun itu rezeki buat Nissa dan kumpulan Sabyan Gambus sangat bersyukur dengan adanya Nissa bersama mereka.

Berbicara mengenai konsert berkenaan, Ayus berkata, mereka akan menghiburkan penonton selama hampir tiga jam.

Selain persembahan Sabyan Gambus, turut diundang dua penyanyi kerohanian dari negara ini iaitu Heliza dan Hazwani Helmi serta kumpulan UNIC.

Bakal menghiburkan penonton dengan 10 lagu-lagu selawat popular nyanyian Sabyan Gambus, diharapkan konsert itu dapat sambutan penonton.

Sejak ditubuhkan pada 2015, Sabyan Gambus banyak menyanyikan semula lagu popular antaranya Deen As Salam, Ya Habibal Qolbi dan Rohman Ya Rohman yang menjadi perhatian ramai.

Nissa takkan menyanyi solo

Walaupun populariti dirinya sangat besar, Nissa yang berasal dari Bandung berkata, dia tidak terfikir mahu menyanyi secara solo.

Katanya, dia bersyukur dapat mengembangkan bakat nyanyiannya bersama kumpulan Sabyan Gambus yang begitu disenangi.

“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir langsung mahu menyanyi secara solo kerana lebih selesa bergerak dengan berkumpulan. Terus terang, saya berasa lebih puas apabila dapat menyanyi dengan diiringi muzik berkumpulan berbanding secara minus one,” katanya.

Ditanya jika dirinya terkait gosip yang sering menghimpit golongan selebriti, Nissa berkata, dia sering berdoa supaya dijauhkan daripada perkara itu.

Mengulas mengenai rakaman video tular membabitkan dirinya yang dikatakan sudah bernikah dalam satu majlis tertutup, Nissa menafikannya.

“Saya belum berkahwin lagi dan masih single. Umur pun baru 19 tahun dan belum lagi ada kekasih. Saya mahu fokus pada kerjaya. Apapun, tidak semua video yang tular di platform digital sekarang boleh dipercayai dengan mudah. Saya memang belum berkahwin lagi,” katanya.

Nissa yang memiliki kelulusan dalam bidang automotif dan elektronik berkata, dia sebenarnya dikelilingi ramai rakan lelaki berbanding perempuan.

“Walaupun saya berhijab tetapi perwatakan diri agak kasar. Saya seorang tomboi di sekolah dulu kerana berkawan dengan lelaki. Saya juga aktif dalam aktiviti lasak dan ketika kanak-kanak dulu saya selalu bermain bola sepak dengan rakan-rakan lelaki,” katanya.

Memiliki sebanyak 8.4 juta pengikut di Instagram, Nissa berkata, dia sangat berterima kasih kepada semua pengikutnya.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 6:00am
d