utama

Inovasi bijak Paktih

Oleh Noorazura Abdul Rahman

JITRA: Mengupas ratusan biji kelapa menggunakan cara tradisional satu pekerjaan yang sangat memenatkan.

Namun, bagi seorang pengusaha santan di kampung Charuk Lata, Wang Tepus dia terpaksa mencari alternatif lain dengan mencipta mesin pengupas kelapa bagi memenuhi permintaan pelanggan dari sekitar daerah itu.

Suhani Idris, 48, berkata, dia mengambil masa hampir lima bulan untuk mencipta mesin itu dengan hanya menggunakan besi terpakai.

“Saya tidak pernah belajar mengenai mesin atau enjin secara formal, tetapi dengan berbekalkan idea yang saya lihat dari Internet, saya mereka cipta mesin ini dan boleh digunakan pada Februari lalu.

“Bermodalkan RM700 saya membeli motor dan rantai besi di kedai untuk memastikan mesin saya berfungsi sementara peralatan besi yang lain saya dapatkan di kedai besi buruk dengan RM2 sekilogram,” kata bapa kepada empat anak ini.

Bercerita lanjut, selepas berjaya menghasilkan mesin itu, Suhani mengakui ia dapat membantu meningkatkan produktiviti berikutan hanya mengambil masa kira-kira enam saat bagi mengupas sebiji kelapa.

Katanya, kerja mengopek 200 biji kelapa secara manual dahulu mengambil masa sehingga tiga hari namun kini ia dapat dilakukan dalam beberapa jam sahaja.

Malah, katanya, tenaga kerja dan kecederaan juga dapat dielakkan berbanding menggunakan parang atau besi pengopek.

“Dengan adanya mesin ini, ia turut memberi kesan kepada penduduk kampung yang mula menjual kelapa kepada saya, dulu kelapa tua yang luruh dibiarkan begitu sahaja.

“Kini terdapat 20 penduduk yang menjual kelapa kepada saya, dulu saya tidak membeli kelapa yang tidak dikupas tapi dengan adanya mesin ini ia dapat menjana pendapatan penduduk setempat,” katanya.

Suhani atau lebih dikenali sebagai Paktih berkata, dia kini mampu menghasilkan 50 kilogram santan setiap hari terutama pada musim cuti sekolah.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 8:21am
d