utama

BSN selesaikan pembiayaan kereta Adib

Oleh Syanty Octavia Amry

ATAS dasar sosial korporat dan prihatin, Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan membantu menyelesaikan baki pembiayaan kereta Allahyarham Muhammad Adib.

Perkara itu dilakukan bagi meringankan beban keluarga arwah.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani dalam satu kenyataan berkata, pihaknya merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan pastinya jasanya akan dikenang.

“Pemergian Allahyarham Muhammad Adib amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi kejadian berlaku ketika arwah sedang bertugas.

“Kami akan membantu keluarga arwah Muhammad Adib dalam menyelesaikan baki pembiayaan keretanya,” katanya.

Allahyarham baharu sahaja membeli kereta dengan mendapat pembiayaan daripada BSN.

Kereta Perodua Myvi itu disimpan di kampungnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah, Alor Setar untuk kegunaan selepas berkahwin.

Pemergian Allahyarham Muhammad Adib sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya pada jam 9.41 malam 17 Disember lalu mencatatkan satu lagi peristiwa duka buat seluruh rakyat Malaysia.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 9:01pm
d