utama

Dendam 20 tahun

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang lelaki yang menunggu 20 tahun untuk membalas dendam terhadap bekas gurunya yang pernah menendangnya ketika zaman persekolahan, menyerang lelaki terbabit hingga video kejadian itu tular di media sosial.

Menurut laporan South China Morning Post, dalam kejadian kejadian di Luoyang, wilayah Henan, lelaki dikenali sebagai Chang itu menyerang gurunya sebelum dia ditahan polis, kelmarin.

Menerusi video yang dimuat naik Ahad lalu itu, Chang menahan bekas gurunya yang menunggang motosikal di daerah Luanzhou sebelum bertanya sama ada lelaki berusia 50 tahun itu masih mengingatinya sebagai anak murid.

Mangsa yang dikenali sebagai Zhang, kemudian ditampar suspek di kepala dan muka.

Kejadian itu berlarutan selama 20 minit dan bekas gurunya tidak melawan, sebaliknya hanya meminta maaf berulang kali.

Rabu lalu, seorang lelaki mendakwa sebagai Chang menulis di forum internet menyatakan dia bertanggungjawab menyerang mangsa pada Jun dan merakamnya namun tidak memuat naik video itu di internet.

Menurutnya, Zhang bekas guru bahasa Inggeris ketika dia berada di tahun kedua sekolah tinggi.

Chang mendakwa, dia ditangkap guru itu kerana tertidur sebelum disuruh melutut di depan kelas dan guru menyepak kepalanya 10 kali.

“Saya memohon maaf kepada semua guru kecuali Zhang,” tulis lelaki itu yang menjelaskan tindakan gurunya menyebabkan dia trauma dan sentiasa mahu membalas dendam.

Polis yang melakukan siasatan selepas video itu tersebar, berjaya menahan suspek di stesen kereta api Hangzhou Timur, wilayah Zhejian ketika dia membeli tiket ke Henan.

Zhang dilaporkan memberitahu polis dia tidak membuat aduan polis berhubung kejadian itu kerana berasa malu.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 6:30am
d