utama

Tuntut keadilan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Perhimpunan menuntut keadilan di atas kematian anggota Bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diadakan di Putrajaya dan Pulau Pinang, semalam.

Perhimpunan Solidariti Suara Ummah #Justice4Adib itu diadakan di Dataran Putrajaya dan pekarangan Masjid Hashim Yahaya, Georgetown selepas solat Jumaat.

Beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan berkenaan mendesak tindakan diambil bagi memastikan kematian Adib terbela.

Mereka juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P Waytha Moorthy meletak jawatan.

Di Putrajaya, lebih 500 individu daripada pelbagai NGO berhimpun selesai solat Jumaat di Dataran Putrajaya sebelum bergerak ke Bangunan Perdana Putra bagi menyerah memorandum menuntut keadilan terhadap kematian Adib.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya komited menegakkan keadilan kerana Adib pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan tugas.

“Arwah ke sana untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba yang tidak membawa senjata, hanya untuk menyelamat tetapi ada tangan durjana yang menarik dan memukulnya,” katanya.

Menurut Aminuddin, desakan besar-besaran akan terus dilakukan di seluruh negara dengan lebih ramai peserta jika isu terbabit gagal ditangani.

UMMAH juga mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan kerana gagal menangani isu rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya bulan lalu.

“Waytha Moorthy ketika itu yang sepatutnya memperjuangkan perpaduan gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebaliknya menyalahkan polis kerana lambat ke lokasi rusuhan,” katanya.

Di Georgetown pula, 200 ahli NGO dan orang ramai berhimpun secara aman di pekarangan Masjid Hashim Yahaya di sini, bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan.

Kumpulan itu kemudiannya berarak dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Ismail Mohd Zain, sebagai simbolik solidariti bagi menuntut keadilan atas kematian Adib.

Pengerusi Raudhah NGO Islam negeri Azmi Jaafar berkata, Waytha Moorthy wajar dilucutkan jawatan selepas membuat kenyataan yang menimbulkan ketegangan kaum.

Sementara itu, di Ipoh, Perak, polis memaklumkan menerima notis dan permohonan permit daripada penganjur himpunan #KeadilanBuatAdib di Padang Ipoh di sini, petang ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, bagaimanapun permohonan daripada penganjur itu tidak dapat diproses kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“Permohonan itu tidak mematuhi teras Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) iaitu permohonan mestilah dibuat 10 hari sebelum penganjurannya,” katanya dihubungi.

Ketika ditanya sama ada polis berjumpa penganjur perhimpunan itu dan adakah penganjur akan meneruskannya, Mohamad Nordin berkata: “Sudah berjumpa dan ia akan diteruskan penganjur.”

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 8:29am
d