utama

Adib, Nurul sepatutnya nikah malam tadi

Oleh Suzalina Halid

“MENGIKUT perancangan, saya sepatutnya nikahkan mereka di masjid malam tadi,” luah Mohd Radzi Bedah, 51.

Mohd Radzi adalah bapa kepada Nurul Najihah, 25, yang dirancang bernikah dengan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia Isnin lalu.

Beliau berkata, Najihah dan Adib sepatutnya disatukan pada majlis akad nikah di Masjid Pantai Johor malam tadi, sebelum majlis persandingan diadakan di rumah mereka di Taman Damai, di sini.

Katanya, kelengkapan baju untuk dipakai keluarga mereka sempena majlis perkahwinan itu juga sudah disiapkan, begitu juga dengan duit pendahuluan jamuan makanan yang disediakan pihak katering.

Bagaimanapun, dia dan keluarga reda dengan ketentuan takdir yang Muhammad Adib menghadap Ilahi beberapa hari sebelum majlis pernikahan mereka berlangsung.

“Biarpun tertulis antara mereka tiada jodoh, namun saya berharap ikatan silaturahim antara keluarga arwah Muhammad Adib dan kami tidak akan terputus.

“Malah, kos jamuan yang sepatutnya berlangsung hari ini saya salurkan untuk majlis tahlil Khamis lalu, ” katanya yang sebelum ini merancang menjemput kira-kira 1,500 tetamu.

Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Isnin lalu selepas tiga minggu menerima rawatan di situ akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.

Menyentuh mengenai perihal Muhammad Adib, Mohd Radzi berkata, perilaku pemuda itu amat baik dan tidak banyak bercakap memandangkan dia seorang yang pemalu.

Sementara itu, isterinya, Haliza Abu Bakar, 48 berkata, semangat Nurul Najihah yang hilang selepas tragedi itu semakin pulih dalam tempoh hampir seminggu Muhammad Adib meninggal dunia.

Haliza berkata, keadaan Nurul Najihah semakin baik apabila tidak lagi berkurung di dalam bilik, sebaliknya sudah boleh melakukan aktiviti lain seperti mengemas rumah dan memandu kereta sendiri.

Katanya, selepas pemergian Muhammad Adib, Isnin lalu, Nurul Najihah yang juga anak kedua daripada empat beradik itu banyak termenung dan berkurung dalam bilik.

“Alhamdulillah keadaan Najihah semakin pulih, dia sudah keluar bilik. Kalau tidak memang berkurung dalam bilik saja, pagi tadi dia bangun awal kemas rumah dan boleh memandu sendiri untuk menghadiri tahlil di rumah arwah.

“Sebelum ini, memang dia tidak mahu makan, kalau saudara-mara datang dia akan keluar bersembang sekejap, selepas itu dia kembali berkurung dalam bilik dan termenung,” katanya.

Pada masa sama, Haliza berkata, perubahan positif Nurul Najihah dapat dilihat selepas keluarga mengadakan majlis tahlil di surau di perumahan mereka dan meminta ahli kariah untuk mendoakan anaknya diberi kekuatan.

Sebelum ini katanya, emosi Nurul Najihah turut terganggu apabila wujudnya enam akaun palsu di laman sosial Instagram yang menyamar sebagai Eksekutif Jualan itu.

Rentetan itu, Haliza berkata, pihak keluarga turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum pihak berkuasa meminta mereka merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 5:11pm
    d