utama

Konsert Siti RM10 juta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour yang bakal berlangsung di empat negara tahun depan menelan kos RM10 juta sekali gus menjadi konsert termahal dalam sejarah industri hiburan tempatan.

Konsert anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd itu juga bertaraf antarabangsa dengan membawa tiga pemuzik dari Amerika Syarikat membabitkan pemain bass, gitar dan dram di samping 27 pemuzik tempatan.

Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, konsert itu juga bakal menjadi penanda aras baru untuknya kerana menampilkan sesuatu yang hebat dari semua segi.

“Saya dimaklumkan anggaran kos keseluruhan konsert ini RM10 juta. Disebabkan itu, pendekatan yang bakal ditampilkan bertaraf antarabangsa. Malah, penganjur menjanjikan sesuatu yang lebih hebat lagi.

“Kehebatan konsert ini nanti bukan bersandarkan pada saya seorang, tetapi ia pakej dan kerja berpasukan termasuklah pengarah muzik, pemuzik, sistem bunyi, pentas, pencahayaan dan banyak lagi. Itu yang saya cuba tonjolkan.

“Saya mahu konsert ini menjadi lebih baik dari sebelumnya sekali gus ia memberi penanda aras baru untuk saya dalam menjayakan persembahan berskala besar,” katanya yang kali terakhir menjayakan konsert pada 2016 menerusi konsert Dato’ Siti Nurhaliza & Friends.

Satu fakta menarik mengenai konsert itu, ia bakal menjadi penganjuran konsert ke-51, 52, 53 dan 54 Siti sepanjang 24 tahun pembabitan sebagai anak seni.

Mengakui bukan sesuatu yang mudah untuknya, Siti berasakan tekanan lebih dirasai apabila penonton meletakkan harapan tinggi dalam setiap konsert diadakan.

“Setiap kali nak menjayakan konsert, saya letakkan ia sebagai tanggungjawab besar. Tekanan pasti dirasai dalam semua persembahan besar kerana saya bukan jenis ambil mudah.

“Apabila saya gementar ia lebih membuatkan saya bersemangat dalam membuat persiapan. Pendek kata, bukan masa untuk main-main,” katanya.

Menurut Siti, status sebagai ibu tidak sesekali melemahkan untuk menampilkan persembahan hebat seperti sebelum bersalin.

“Gelaran ibu akan membuatkan saya menjadi lebih baik. Ia tidak akan patahkan semangat saya untuk berkarya seperti sebelumnya.

“Dalam masa sama, saya tak nak paksa diri. Saya tahu tahap kemampuan. Itulah sebabnya penting pasukan untuk membantu. Malah, saya melihat ramai penyanyi yang sudah bergelar ibu masih boleh menyanyi dengan baik. Sebagai contoh Celine Dion. Jadi, status ibu itu bukan halangan,” katanya.

Stamina dan vokal

Siti yang kini popular menerusi lagu Anta Permana berkata, dua perkara yang menjadi tumpuan utamanya sekarang adalah stamina dan vokal.

“Masalah stamina ini perkara biasa lebih-lebih lagi selepas bersalin. Kalau dulu sebelum bersalin tak ada masalah. Saya menyanyi saja. Jadi, untuk mendapatkan semula stamina saya sudah mulakan latihan di gimnasium.

“Dari segi vokal pula, hampir setahun juga berehat iaitu ketika mula disahkan hamil sampai habis pantang. Agak berkarat juga vokal.

“Kiranya, untuk konsert ini nanti saya kena mula dari awal seperti kali pertama mengadakan konsert pada 1999. Saya kena betul-betul fokus,” katanya.

Sesuatu yang baru juga untuk Siti apabila pertama kali sepanjang kerjayanya dia akan mengikuti kelas vokal bersama guru vokal yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat iaitu Stephanie Fisher yang berpengalaman lebih 20 tahun.

“Ini perkara baru untuk saya. Sebelum ini memang tak pernah. Selalunya belajar menari saja. Apabila penganjur menyediakan kelas vokal, saya sangat teruja nak belajar.

“Sedikit sebanyak ia boleh membantu cara nyanyian saya nanti. Dalam masa sama, saya boleh belajar teknik lain dalam nyanyian. Insya-Allah kelas ini seminggu sebelum konsert berlangsung,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan penyanyi Indonesia, Tulus, Siti berkata dia sudah lama ingin bekerjasama dengan pelantun lagu Pamit itu.

“Tulus sangat terkenal di Indonesia. Apabila saya mendengar lagu nyanyiannya, saya teringin nak bekerjasama dengannya. Kebetulan, dia adalah artis di bawah syarikat Shiraz Projects.

“Lebih menarik apabila kami dari muzik berbeza. Jadi, ia pasti menjadi sesuatu yang istimewa sekiranya kami bergabung di atas satu pentas. Lagi pula, saya juga nak cuba sampaikan muzik jazz R&B.

“Insya-Allah, kalau sempat kami merancang hasilkan satu lagu duet sempena konsert ini. Kalau tak, kami akan pilih satu lagu untuk disampaikan,” katanya yang mana Tulus terbabit di tiga lokasi konsert.

Mengenai konsert itu, ia dibahagikan kepada empat segmen dengan durasi persembahan selama dua jam membabitkan lebih 24 lagu.

Seperti persembahan sebelumnya, Siti menggunakan khidmat komposer ternama, Aubrey Suwito selaku pengarah muzik.

Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour dimulakan Indonesia di Istora Senayan, Jakarta (21 Februari), Singapore Expo, Singapura (2 Mac), Arena Axiata, Kuala Lumpur (16 Mac) dan Royal Albert Hall London pada 22 April.

Tiket menyaksikan konsert ini dijual mulai 26 Disember ini menerusi www.mytickets.asia pada harga RM1,295 (meet & greet), RM495 (diamond), RM355 (platinum), RM255 (gold), RM155 (silver) dan RM105 (bronze).

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 5:54am
d