utama

'Kalau tidak adil saya akan ke neraka' [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Namanya tiba-tiba menjadi bualan ramai selepas tersenarai dan diiktiraf BBC sebagai 100 Wanita Inspirasi dan Berpengaruh 2018 bulan lalu.

Bukan setakat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, malah sedikit sebanyak pengiktirafan antarabangsa itu mengubah tanggapan negatif segelintir pihak terhadap undang-undang syariah.

Hakikatnya bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, purata setiap hari wanita ini mengendalikan empat hingga lima kes perbicaraan.

Beliau turut mendengar sehingga 80 kes seminggu termasuk prosiding sensitif seperti poligami, hak penjagaan anak, harta sepencarian serta lain-lain di bawah kehakiman syariah.

Ikuti perkongsian istimewa hakim wanita mahkamah tinggi syariah pertama Malaysia, Nenney Shuhaidah Shamsuddin, bersama wartawan Mahaizura Abd Malik dalam ruangan Kafe Ahad kali ini yang berkongsi cabaran sepanjang memikul tanggungjawab berkenaan.

Raut wajah puan nampak garang dan tegas. Memang itu karektor semula jadi atau seorang hakim kena berperwatakan macam itu?

Saya rasa mungkin muka sayalah kot. Memang kalau dalam dewan (kamar mahkamah) itulah muka saya. Kita memang serius dalam dewan. Memang tak senyum kena tunjukkan serius.

Saya bukan mudah untuk senyum. Saya tak kata syarat jangan senyum, tidak...tapi kena tunjukkan kita ini tegas, kalau ada perlakuan mencuit hati kadang tersenyum jugalah, tapi itu kena jaga jangan sampai melampaui batas.

Nama Nenney itu sangat unik dan jelas menggambarkan susur galur puan ini sebagai anak Jawa. Pernah tak puan rasa malu dengan nama sendiri?

Saya bertanya pada arwah emak, macam mana boleh beri nama Nenney, sebab ejaan pun unik. Orang selalu sebut ‘nanny’ atau nenek dan masa kecil pun ramai panggil saya nenek.

Tetapi sebab emak saya kata ini nama Jawa dan nenek yang beri saya terimalah, tak malu sebaliknya bangga sebab unik.

Cuma ketika zaman sekolah rendah orang ejek nanny, kadang-kadang nenek saya abaikan saja.

Saya ada tiga anak dan yang bongsu perempuan, jadi letak nama Nenney, dua pun sama digelar nenek oleh rakan kerana nama depannya Nenney.

Iyalah kalau saya tidak jaga siapa lagi. Tiga adik perempuan saya nama depan mereka semua bermula dengan Nenney. Memang keluarga kami dikenali dengan nama Nenney.

Selepas dua tahun dilantik sebagai hakim dan terbaru diiktiraf pihak luar, adakah puan berasa sudah selesa dengan pencapaian sekarang?

Saya tak boleh katakan selesa dengan pencapaian sekarang sebab tak sangka dipilih. Saya masih muda dalam bidang kehakiman.

Masih perlukan satu tempoh panjang untuk berbakti kepada negeri, masyarakat dan bidang syariah itu sendiri.

Banyak benda baru hendak saya terokai dalam bidang ini, jadi belum selesa lagi dengan pencapaian ini (anggap rezeki tak disangka).

Dengan pengiktirafan ini apa lagi puan akan lakukan khususnya dalam memperjuangkan nasib wanita dan kanak-kanak?

OK sebagai hakim mahkamah tinggi, kita dengar permohonan, tuntutan daripada kedua-dua belah pihak iaitu lelaki dan wanita.

Jadi sebagai hakim bukan hanya menjaga kebajikan wanita dan kanak-kanak semata-mata, kena adil juga pada lelaki.

Tidak boleh menjurus kepada wanita, nanti berat sebelah, sebagai hakim kena adil kepada semua yang buat tuntutan.

Selepas ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk pastikan keputusan kes memberikan kepuasan hati kepada semua pihak terbabit sama ada yang menuntut atau dituntut.

Sesetengah orang berpendapat golongan wanita ini tidak sesuai menjadi hakim kononnya lebih dipengaruhi emosi dalam membuat keputusan. Apa komen puan?

Itu memang stigma dan persepsi daripada dulu lagi, dikatakan perempuan ini kalau datang bulan akan rasa terganggu.

Kadangkala terganggu mungkin sebab cuti bersalin, berpantang dan sebagainya. Kita ambil ini sebagai cabaran sebab tidak dinafikan kadang-kadang memang terganggu, tetapi sebagai seorang sudah sampai tahap hakim mahkamah tinggi kena jaga emosi dan bersikap profesional.

Dalam kes ini, saya bernasib baik kerana ada pengalaman selama empat tahun setengah di Jabatan Bantuan Guaman.

Mula-mula dulu memang saya agak emosi dengar kisah sedih wanita datang berjumpa. Jadi bila sampai setengah tahun sudah lali sebab rasa tak boleh layan perasaan kalau tak lambat sampai matlamat saya.

Selepas itu, saya akan jadi tepat. Saya dapat dengar fakta depan saya. Tahu hendak buat terus keputusan.

Memang saya dilatih sejak dulu jadi bernasib baik pernah jadi peguam syarie sebelum ini, terbawa-bawa sampai sekarang bila sudah jadi hakim.

Jadi, saya tiada masalah untuk mengawal dan mengendalikan emosi dalam mahkamah walaupun kadang-kadang kes sedih contohnya berebut hak penjagaan anak.

Memang sedih kita faham orang itu, tetapi sebagai hakim tidak boleh terpengaruh dengan situasi, kena waras, tegas dan ingat peranan hakim ini sebagai apa serta jangan terbawa-bawa dengan emosi.

Saya pernah katakan pada puan (wartawan) sebelum ini bahawa saya bukan lelaki atau perempuan, tetapi saya adalah hakim.

Pernah tak kewibawaan puan sebagai hakim wanita dipertikaikan?

Setakat ini adalah sekali dua dipertikaikan pihak yang buat tuntutan. Contohnya dia rasa macam kita ini pilihan pihak satu lagi (wanita).

Tetapi bila kita bicarakan lama-lama dia faham sebab itu saya kata kalau encik tak berpuas hati dengan boleh mohon untuk tukar hakim lain.

Pernah sekali macam itu seingat saya semasa permohonan rayuan untuk kurangkan nafkah anak. Itu memang biasa mana-mana hakim sama saja, inilah cabarannya.

Sebagai wanita, mungkin tidak mudah bagi puan untuk memutuskan sesebuah kes terutama membabitkan kaum sendiri. Jadi bagaimana puan mengawal emosi dalam mengendalikan setiap kes perbicaraan di mahkamah?

Macam saya katakan tadi ketika memasuki bidang kehakiman saya berkata pada diri sendiri. Saya adalah seorang hakim, tanggungjawab berat, kena tanggung dan menjawab dengan Allah.

Kalau tidak adil saya akan ke neraka jadi tidak boleh suka-suka, biarpun saya perempuan tidak boleh memihak kepada perempuan (klien) sebab hukuman Allah saya tahu. Saya cuma takut satu saja iaitu azab Allah.

Berikutan itu, saya akan memahami kes, fahami perempuan dan lelaki serta letak diri dalam situasi mereka.

Contoh bagi hak penjagaan anak sudah tentu sebelum bercerai mereka duduk serumah, rapat dengan anak, tetapi selepas berpisah berebut hak.

Kerap saya ingatkan klien yang berada di depan walaupun kamu sudah bercerai, kamu tiada jodoh tak apa, tetapi tolong berbaik demi anak-anak.

Perceraian itu sudah beri kesan besar kepada anak daripada segi emosi dan mental jadi kalau kamu tambahkan dengan berebut hak, tidak beri jumpa anak, hina pasangan depan anak, itu akan beri negatif kepada kanak-kanak sampai dia besar.

Ketika memutuskan saya akan katakan kepada pihak berkaitan, saya lebih utamakan kebajikan anak-anak.

Ambil kira keadaan mana keadaan yang boleh menjaga kebajikan anak-anak secara keseluruhan lebih baik.

Tetapi satu lagi pihak tidak dapat hak jagaan akan mendapat hak lawatan dan bermalam itu tidak dinafikan.

Cuma saya nampak di sini, kita kena beri kesedaran masyarakat terutama orang Melayu. Perceraian bukan bermakna kamu perlu bermusuh, tetapi berbaik-baik demi anak, sebab banyak saya nampak ramai bermusuh, bergaduh dan melarikan anak jadi beri kesan kepada kanak-kanak itu.

Bagaimana pengamatan puan tentang penerimaan orang kita mengenai keupayaan wanita menjadi hakim?

Masyarakat mungkin akan ada dua pandangan. Pandangan pihak wanita saya pasti mereka mengalu-alukan pelantikan hakim wanita begitu juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Persepsi lain daripada kaum Adam, mungkin akan kata saya berat sebelah, sampai sekarang (masih lagi berlaku), sebab masyarakat kita tak berapa didedahkan.

Kita ini hebahkan hakim adil tidak memihak sesiapa, tetapi dalam kepala masih lagi hakim wanita.

Contohnya kes poligami, hakim wanita dengar poligami? Sudahlah perempuan tidak suka poligami mesti tak lulus.

Pernah berlaku seorang pemohon lelaki sebelum jumpa saya (kes berlangsung dalam kamar mahkamah), dia takut hendak masuk sebab takut permohonan poligami tidak diluluskan.

Jadi perlukah masyarakat kita ini lebih terbuka dengan erti kata lain lebih ramai wanita diberi kepercayaan untuk memegang jawatan profesional macam hakim ini?

Bagi saya sewajarnya sebab kami pegawai syariah wanita memang ramai. Macam saya pertama yang mengorak langkah (dilantik hakim mahkamah tinggi syariah) dan sewajarnya kawan-kawan wanita seperjuangan lain diberi peluang sama.

Kena faham macam mahkamah sivil pun sudah ramai hakim wanita. Tak pernah pun dipersoalkan jadi kenapa mereka perlu persoalkan kepada syariah? Setakat ini, mahkamah tinggi syariah memang dua saja di Malaysia ini, tetapi mahkamah rendah sudah ramai.

Pernah tak puan disogok?

Setakat hari ini alhamdulillah belum ada siapa lagi berani hendak cakap macam itu dengan saya. Sebab mereka tidak boleh cakap secara langsung dengan saya.

Pihak pentadbiran jabatan bagus, dia (hakim) tidak boleh sampai kepada awam. Berhubung secara langsung dengan hakim, memang dihalang.

Apa-apa hal berhubung dengan ketua pendaftar. Jadi kita dilindungi, berhubung terus dengan orang pun tak boleh. Kita kena jaga adab, kena memisahkan diri dengan klien. Ini macam etika hakim lah.

Berdasarkan pengalaman puan dalam kehakiman syariah ini, kes apa paling kritikal di Malaysia ini?

Yang kritikal kalau di Selangor ini saya tengok khalwat, persediaan untuk perzinaan, persetubuhan dan luar nikah. Daripada konteks Malaysia lebih kurang sama, tetapi saya cakap di Selangor saja sebab tidak pasti statistik negeri lain.

Antara kes pernah dikendalikan apakah kes agak sukar bagi puan?

Seikhlasnya yang membabitkan isu emosi ialah anak, kalau harta sepencarian kedua-dua belah pihak masih waras itu cuma harta.

Tapi kalau bab anak mereka beremosi, mahu atau tidak kita bermain dengan emosi, berbicara pun beremosi dan menangis, memang senang marahlah dalam mahkamah.

Hakim kena pandai kendalikan situasi dalam mahkamah, kena faham pihak yang datang ini adalah mereka yang tertekan.

Bila buat keputusan pun memang selalu berfikir lama. Apakah keputusan sebaiknya untuk bapa dan emak. Bagi saya untuk membuat keputusan memang mencabar, hendak pastikan pihak berkenaan berlapang dada dan menerima sebaik keputusan diputuskan. Maknanya tiada betul-betul kalah, tiada rasa gah menang sebab anak itu emak bapa dua-dua ada hak yang sama.

Dilema puan sendiri ketika mahu memutuskan kepada siapa kelayakan hak jagaan anak itu patut diberikan?

Kena fikir lama...pertama kali memang lama sampai dua tiga hari nak fahamkan fakta. Sebab itu dalam kes ini mahkamah kena tengok pembuktian fakta dibawa. Jadi kita akan baca, tengok bukti dinyatakan dan keterangan saksi.

Kita akan putuskan pihak mana yang lebih layak menjaga kebajikan anak. Emosi letak tepi, saya fikirkan kebajikan anak ini agar selesa atau siapa lebih baik jaga emak atau bapa?

Memang emak sayang anak saya faham, tetapi kalau dia tidak mampu contoh tidak bekerja, tiada pendapatan tetap, belum ada rumah, masih tinggal di bilik sewa...anak ini kasihan. Jadi saya kata dalam hujah, memandangkan buat masa ini, ibu belum mampu menyediakan tempat tinggal selesa untuk anak atau belum ada pendapatan untuk membiayai anak, jadi buat masa ini sewajarnya anak diberikan kepada bapa untuk dijaga. Sebaliknya ibu ini masih boleh bermalam dengan anak pada bila-bila masa munasabah. Tiada halangan cuma tidak tinggal bersama dengan anak itu.

Pernah tak berdepan situasi yang memerlukan puan menunaikan solat Istikharah sebelum memutuskan sesuatu kes?

Istikharah belum pernah lagi, tetapi Tahajud itu kena buat setiap hari, diamalkan setiap hakim bukan saya seorang saja.

Setahu saya rakan sejawatan lain jaga Tahajud mereka, sebelum kendalikan perbicaraan pun buat solat Dhuha, Insya-Allah dapat petunjuk Allah dalam membuat keputusan selain permudahkan urusan bicara, gerakkan hati kita untuk tidak berat buat keputusan. Memang kebanyakan amalan hakim macam itu, zikir kena banyak sebagai penguat dan pelindung. Keputusan hakim menentukan arah hidup orang, ke mana hala tuju mereka, jadi kena betul-betul.

Setiap fakta bukan benda mudah, biarpun di rumah hakim tidak bertugas tetapi masih memikirkan kes.

Segelintir pihak masih memandang serong dan mempertikaikan undang-undang syariah. Komen puan?

Undang-undang syariah adalah untuk menjaga, memelihara kebaikan dan kemaslahatan umat Islam di Malaysia. Jadi fahami undang-undang syariah bagaimana ia dilaksanakan sebelum memberi sebarang komen selain lakukannya secara berhikmah.

Apa puan hendak cakap kepada masyarakat di luar sana?

Bagi pasangan berkahwin andai jodoh tak panjang selesaikan urusan berkaitan dengan baik, rasional dan ketepikan rasa dendam.

Seterusnya kes dapat dijalankan dan diputuskan segera tanpa masalah. Ingin saya ingatkan anak-anak sudah terkesan dengan perceraian jangan tambah lagi penderitaan mereka dengan pergaduhan dan penghinaan.

Langkah paling bagus adalah berbincang demi kebaikan anak-anak, kebajikan, kesihatan mental dan emosi mereka perlu dijaga.

Kalau diabaikan kanak-kanak ini akan menjadi seorang individu bermasalah dalam masa 15 tahun akan datang, jika kita lihat sekarang pun sudah banyak.

Kesan pada anak-anak ini bila hendak berkahwin, mereka akan teringat lalu terbawa-bawa pengalaman dilalui dulu.

Jika ibu bapa gagal kendalikan perceraiannya dengan baik, kesannya kepada anak-anak dan keturunan itu pada masa depan amat besar. Itu yang saya percaya.

Minta maaflah, saya nak tambah masyarakat Malaysia kita ini memang tahu ramai yang sudah sakit jiwa, tekanan jiwa melampau jadi dia akan beri tindak balas tidak terduga.

Bunuh emak, ayah, adik -beradik, isteri, anak...semua boleh, bila gagal kawal tekanan. Satu lagi masyarakat kita ini malu mengaku masalah, malu hendak dapatkan bantuan dan suka simpan pendam sendiri, bila meletup itulah kesannya yang kita tidak dapat duga.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 9:00am
d