utama

Dibunuh enggan teruskan hubungan intim

Oleh Faris Fuad

WANITA Indonesia maut selepas ditikam menggunakan pisau di bahagian dadanya di pekarangan parkir Masjid Al-Husna, di Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian 10.18 malam itu, mangsa diserang lelaki Indonesia akibat berang kerana wanita terbabit tidak mahu meneruskan hubungan intim.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, selepas membunuh mangsa, lelaki itu dikenal pasti sebagai Untung cuba membunuh diri dengan menikam di bahagian perut dan minum racun di kawasan kejadian.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di wad kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), 1.50 pagi tadi.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek kira-kira dua bulan.

“Suspek mengetahui lokasi pekerjaan mangsa dan selama tempoh perkenalan, suspek ada membelanjakan sejumlah wang untuk mangsa.

“Tujuannya untuk melakukan hubungan intim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata, sejak kebelakangan ini, suspek tidak mampu untuk membelanjakan wang seperti yang diminta mangsa.

“Oleh kerana itu, mangsa tidak mahu meneruskan hubungan sehingga mencetuskan kemarahan kepada suspek sehingga membunuh wanita itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 10:31am
d