utama

'Melampau dan tak bertanggungjawab!'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PERSATUAN Haiwan Malaysia mengecam tindakan wanita yang membiarkan anak kucing mati tanpa mendapatkan rawatan selepas dipijak anak lelakinya sehingga patah tengkuk dalam kejadian di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, di Puchong, 27 November lalu.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, perbuatan wanita itu tidak sepatutnya berlaku berikutan sebagai ibu bapa, mereka sepatutnya menjadi contoh dan menegur perbuatan anak mereka yang dianggap keterlaluan dan kejam.

Katanya, pihaknya menerima rakaman video kejadian yang berdurasi selama satu minit pada hari ini daripada penduduk pangsapuri berkenaan dan sudah pun membuat aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

“Dalam video itu kita memang dapat melihat kanak-kanak yang dianggar berusia bawah 12 tahun memijak anak kucing berkenaan dan perbuatan dilihat oleh ibunya.

“Namun, kami kecewa kerana ibu kanak-kanak berkenaan hanya menguis anak kucing liar terbabit dengan kaki sebelum berlalu pergi tanpa mengambil tindakan seperti membawanya ke klinik haiwan bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arie berkata, perbuatan kanak-kanak itu jelas melampau dan perbuatan wanita berkenaan tidak bertanggungjawab.

Katanya, sepanjang tahun ini juga pihaknya menerima kira-kira 300 aduan membabitkan penganiayaan terhadap haiwan di negara ini dan membuktikan kesedaran masyarakat untuk melindungi haiwan masih berada di tahap rendah.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 5:03pm
d