utama

'Dugaan ini amat berat'

Oleh Mohamad Hussin

Kuala Lumpur: “Dugaan ini amat berat namun saya pasrah dan reda. Allah SWT tidak menguji hambanya di luar kemampuan. Anak kedua juga menghidap hydrocephalus dan meninggalkan kami selepas 42 hari dilahirkan.

“Tapi saya tidak patah semangat dan terus berusaha merawat dua lagi anak menghidap hydrocephalus,” kata Aishah Mohd Saleh, 30, ibu Nor Iman Shah Mohd Shahrul, 9, dan Nor Rahil Raihan, 4 bulan, yang menghidap hydrocephalus.

Menurutnya, hanya anak ketiga daripada empat beradik, Nor Izzul Islam, 4, dilahirkan normal.

Wanita itu berkata, anak sulung, Nor Iman Shah dan anak bongsu, Nor Rahil Raihan disahkan menghidap hydrocephalus atau penyakit kepala besar akibat lebihan cecair dalam kepala sejak lahir.

“Anak kedua, Nor Raihan Shah meninggal dunia selepas 42 hari dilahirkan kerana penyakit sama. Saya bersyukur Nor Izzul Islam dilahirkan normal.

“Saya tidak pernah anggap anak istimewa ini beban tetapi kurniaan Allah SWT yang tidak ternilai dan sanggup menjaga mereka sehingga hujung nyawa,” katanya.

Dia yang menetap di Taman Ilham, Kluang, Johor berkata, Nor Rahil Raihan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan perlu menjalani pembedahan di kepala.

Aishah berkata, pembedahan itu bagaimanapun ditangguhkan kerana Nor Rahil Raihan mengalami komplikasi jangkitan kuman di kepala dan air kencing.

“Syukur kepala Nor Iman Shah tidak lagi membesar selepas menjalani pembedahan VP Shunt bagi mengelak cecair bertakung dalam saraf otak yang dikesan berlaku selepas berusia lima hari.

“Selepas pembedahan fizikalnya dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) terlantar kerana tidak boleh berjalan dan bercakap. Alhamdulillah, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang.

“Saya juga hantar permohonan ke Baitulmal Kluang untuk pembiayaan kos rawatan Nor Rahil Raihan,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia dan suami, Mohd Shahrul Hassan, 30, tidak pernah menjangka menempuh dugaan membabitkan kesihatan anak.

Menurutnya, buat masa ini suaminya bercuti sakit selepas terbabit kemalangan jalan raya Jun lalu.

Katanya, dengan pendapatan suami hanya RM1,500 sebulan sebagai buruh, mereka tidak mampu membiayai kos rawatan dua beradik berkenaan termasuk perbelanjaan rawatan Nor Rahil Raihan di HSA.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank milik Aishah, 151061655960.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 8:38am
d