utama

Gigih kumpul duit

Oleh Ardini Sophia Sina

SAMA seperti individu lain, pelakon Azrel Ismail turut menyimpan hasrat memiliki rumah idaman sendiri. Dia mensasarkan untuk mencapai impian itu sebelum usianya mencecah 35 tahun.

Walaupun status selebriti membuatkan dia harus kelihatan kemas dalam menghadiri mana-mana acara, Azrel sama sekali tidak pernah bersikap boros. Dia sentiasa mengingatkan dirinya untuk mendahulukan perkara lebih penting.

Katanya, sejak menceburi bidang seni, dia sering mengagihkan hasil pendapatan berlakon dengan cermat. Dia hanya akan gunakan sedikit untuk diri sendiri, selebihnya dimasukkan ke dalam akaun wang simpanan.

“Sejak awal pembabitan, saya akan gunakan untuk bayar apa yang patut, kemudian ambil sedikit untuk keperluan diri. Bakinya saya akan simpan untuk beli rumah.

“Saya pasang impian untuk mempunyai rumah sendiri. Saya juga sedar harga rumah pada masa kini semakin lama semakin naik. Oleh itu, saya perlu berjimat cermat demi sebuah rumah idaman.

“Sebagai lelaki, suatu hari nanti saya pastinya akan mempunyai keluarga sendiri. Saya ingin pastikan isteri dan anak-anak selesa dengan rumah berkenaan,” katanya.

Azrel me­ngakui, rumah yang diimpikan itu adalah sebahagian daripada persiapan untuk mendirikan rumah tangga. Pun begitu, ia bukan bermaksud dia bakal berkahwin dalam masa terdekat.

Malahan, kata pelakon yang mencipta nama menerusi drama Cucu Tauke Beras itu, dia masih mencari pasangan hidup yang memahami kerjaya seninya serta memenuhi kriteria lain.

“Memanglah saya rancang untuk ada rumah sendiri tetapi bukanlah bermakna saya akan kahwin dalam masa terdekat. Saya pun masih lagi mencari calon yang memenuhi kriteria.

“Bercakap mengenai wanita pilihan hati, sudah pastilah saya mengharapkan seseorang yang memahami kerjaya saya yang tidak tentu waktu dan mungkin menjalani penggambaran di luar kawasan selama beberapa hari,” katanya.

Sebagai insan yang dikenali, sudah pastilah penampilan turut menjadi salah satu perkara yang perlu dititikberatkan. Bagaimanapun, Azrel punya cara tersendiri untuk tetap tampil sesuai dengan imej sebagai selebriti.

Tidak perlu boros berbelanja dan membeli barangan mewah kerana dia percaya, produk tempatan juga mampu menyerlahkan penampilan. Tambahan pula, ia lebih jimat berbanding jenama antarabangsa.

“Orang mungkin nampak saya bergaya dan beranggapan kebanyakan barangan yang saya pakai adalah mahal dan jenama antarabangsa serta mewah. Bagaimanapun, saya sederhana orangnya.

“Saya tidak kisah pun pakai barangan tempatan asalkan ia sesuai dan berkualiti. Tidak perlu boros hanya untuk kelihatan bergaya. Ada banyak cara untuk tetap tampil kemas dan bergaya,” kata Azrel.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 7:59am
d