utama

Belum lahir dah kanser

Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: Kegembiraan pasangan ini menyambut cahaya mata terbantut selepas bayi dilahirkan disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap tiga.

Bagi Nur Faizatun Nadhirah Sedi, 26, dan suami Muhammad Afif Afnan, 27, mereka reda menerima berita pengesahan pakar merawat bayi mereka, Muhammad Azzam Fahmy.

Nur Faizatun Nadhirah berkata, mereka mengetahui Muhammad Azzam Fahmy kini berusia 73 hari menghidap kanser sehari sebelum dilahirkan 13 Oktober lalu.

“Sebelum bersalin, doktor melakukan imbasan, ketika itu barulah ketumbuhan pada perut Muhammad Azzam Fahmy dikesan.

“Selepas dilahirkan doktor melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) yang mengesahkan Muhammad Azzam Fahmy menghidap kanser neuroblastoma tahap tiga,” katanya.

Selepas Muhammad Azzam Fahmy menjalani sesi kemoterapi pertama wanita ini kembali bersemangat apabila bayinya mempunyai harapan sembuh.

Menurutnya, pakar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terengganu mengesyorkan bayi mereka menjalani enam sesi kemoterapi.

“Muhammad Azzam Fahmy menjalani pembedahan membuang ketumbuhan ketika usianya sembilan hari diikuti pembedahan stoma untuk meletakkan usus sementara di bahagian kulit perut, pada 31 Oktober lalu.

“Kini Muhammad Azzam Fahmy melalui tiga rawatan kemoterapi dan pakar mengesahkan bayi kami pesakit termuda menghidap kanser kerana belum ada kes seumpama ini dikesan sebelum ini,” katanya.

Mereka berulang alik dari Besut ke HSNZ dua kali sebulan untuk rawatan kemoterapi dengan kos perbelanjaan termasuk mencuci luka RM2,000.

“Saya bernasib baik apabila kos pembedahan dan kemoterapi anak ditanggung kerajaan kerana ada surat jaminan (GL) berikutan saya penjawat awam.

“Saya tidak mahu ada yang berfikir saya menjual kisah sedih anak untuk meraih simpati sebaliknya bersyukur atas rezeki Muhammad Azzam Fahmy terima setakat ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Muhammad Azzam Fahmy boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Rakyat 110111006037 atas nama Nur Faizatun Nadhirah.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 9:22am
d