utama

'Pulanglah isteri, anak-anakku...'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“HARI ini genap sebulan isteri dan dua anak menghilangkan diri tanpa khabar berita, saya risaukan keadaan mereka lebih-lebih lagi isteri sedang hamil anak ketiga kami,” kata Mohd Amin Said, 36.

Menurutnya, dia menyedari isterinya, Siti Mariam Ahmad, 36, melarikan diri bersama dua anak mereka, Putera Muhamad Syaiful Aiman Mohd Amin, 14, dan Puteri Siti Nur Alya Maisara, 12, sebaik pulang ke rumah sewa mereka di Lorong Seri, Jalan Langgar, Alor Setar pada 25 November lalu dari Kuala Lumpur.

Katanya, dia bertolak ke Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan dan isterinya kelihatan gelisah serta murung sambil mengajaknya berpindah dari rumah sewa itu.

“Saya tak tahu apa sebabnya dia beria-ia ajak berpindah dan mungkin dia ada masalah dengan jiran berhampiran tapi dia tidak pernah bercerita pada saya.

“Kami menetap di sini sejak tujuh tahun lalu selepas saya terbabit dalam kemalangan, namun isteri tidak pernah menunjukkan sebarang masalah malah melayani saya dengan baik,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

Mohd Amin yang bekerja sendiri berkata, sejak kehilangan isteri dan anak-anaknya, dia hilang arah malah sudah mencarinya di kampung dan rumah saudara serta kenalan tetapi tidak menemui mereka.

Katanya, dia turut menghubungi telefon bimbit isterinya beberapa kali, namun talian itu dimatikan dan mungkin sudah tidak digunakan lagi.

Dia juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada 1 Disember lalu untuk memaklumkan kehilangan isterinya.

“Namun sampai sekarang tiada khabar berita mengenai mereka dan saya bimbangkan keselamatan isteri dan dua anak selain anak yang dikandung isteri.

“Sepanjang perkahwinan kami, isteri tidak mempunyai kenalan lain sama ada lelaki dan wanita malah tidak pernah menunjukkan tanda dia curang pada saya kerana dia isteri yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Amin berharap mereka yang mengenali atau terlihat isteri dan dua anaknya supaya menghubunginya di talian 019-4541229 atau 011-56722129.

Katanya, dia berharap dua anaknya ditemui segera kerana cuti sekolah akan berakhir minggu depan dan mereka akan kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 1:09pm
d