utama

Jenguk, bertanya khabar pun tidak...?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“HAMPIR sebulan saya dalam wad, hanya Datuk Freddie Fernandez daripada Persatuan Karyawan bertanya khabar. Persatuan lain tak ada satu pun datang melawat.

“Saya bukannya harap bantuan wang ringgit, tapi sebagai persatuan mana tanggungjawab mereka terhadap kebajikan penggiat seni?”

Begitu luahan pengarah drama Murali Abdullah yang masih menerima rawatan di Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan angin ahmar sejak 28 November lalu.

Murali, 55, ketika dihubungi berkata, dia berasa mustahil jika pihak berkenaan tidak mengetahui keadaan dirinya sekarang kerana pernah berkongsi perkara itu di laman sosial Facebooknya.

Menurut Murali, tindakannya memuat naik status di Facebook, semalam bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi juga mewakili anak seni lain.

“Mana pergi persatuan pengarah, Seniman, Profima dan lain-lain? Mungkin sebab saya terlalu lantang bersuara dalam persatuan membuatkan mereka tak nak datang melawat.

“Kalau betul perkara ini, saya memang kecewa. Sepatutnya mereka kena lebih peka dan ambil berat terutama mengenai kebajikan ahli. Tak nak bantu, tidak mengapa. Tetapi apa salahnya datang jenguk atau bertanya khabar.

“Tunjukkan sedikit rasa tanggungjawab anda sebagai persatuan. Kalau saya pun mereka buat macam ini, apatah lagi orang lain. Jangan gunakan alasan tak tahu, sebab ada saja rakan seperjuangan yang tahu dan datang melawat,” katanya kepada Harian Metro.

Murali berkata, antara yang datang melawat terdiri daripada rakan pengarah, penerbit dan pelakon seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Rashid Sibir, Fadzil Teh dan Fasha Sandha.

Berkongsi mengenai tahap kesihatannya, Murali yang juga pengarah drama Jejak Karmila berkata, dia masih belum boleh bergerak aktif.

“Alhamdulillah, selepas berurut tempoh hari saya sudah boleh gerakkan tangan dan kaki (kanan) secara perlahan-lahan. Cuma, tak boleh nak bergerak banyak sangat.

“Bahagian muka ok dan bercakap pun tak ada masalah. Buat masa sekarang, saya masih dalam pemantauan doktor. Doakan semoga saya kembali sihat seperti sedia kala,” katanya yang sudah lebih 30 tahun berada dalam bidang seni.

Sebelum ini, Murali pernah diserang angin ahmar di bahagian kiri badannya pada 2012 lalu.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 3:49pm
d