utama

Buntu cari RM60,000

Oleh Ahmad Ismail

SEGAMAT: Seorang saudara baharu di Kampung Abdullah di sini, buntu memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung bagi membolehkan isterinya menjalani pembedahan membuang keseluruhan usus besar yang rosak.

Muzzafar Abdullah, 48, berkata, isterinya, Maisarah Abdullah, 46, yang juga saudara baru perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang keseluruhan usus besarnya akibat penyakit familial polypolis coli.

“Saya perlukan RM60,000 bagi membolehkan isteri menjalani pembedahan segera di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor dan tidak dapat melakukannya di hospital kerajaan kerana perlu menunggu giliran yang lama.

“Pendapatan saya sebagai peniaga kedai makan kecil-kecilan juga terjejas selepas hampir 10 hari tidak dapat berniaga. Saya juga mengharapkan bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal,” katanya ditemui di kediamannya.

Menurutnya, isterinya kini hanya terlantar di atas katil dan tidak mampu
menguruskan diri selain perlu memakai lampin pakai buang dan bergantung kepada ubat-ubatan hospital.

Katanya, sebelum ini doktor melakukan tiga ujian di Hospital Segamat untuk melihat keadaan usus isterinya selain pernah mencuba perubatan homeopati sebelum ini.

“Akibat kesempitan wang, sewa rumah dan bil utiliti kediaman juga kedai sudah beberapa bulan tertunggak.

“Saya juga perlu memikirkan kos persekolahan anak tunggal, Muaz yang berusia lapan tahun. Pada masa sama, setiap bulan, saya perlu membelanjakan RM1,000 untuk keperluan ubat-ubatan serta rawatan isteri,” katanya.

Menurut Muzzafar yang memeluk Islam pada 2011, dia berharap ada pihak yang prihatin dengan nasib keluarganya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank atas nama Muzzafar Abdullah di 1623 9379 8201.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 8:27am
d