utama

Cina kampung

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

MACHANG: Sepasang warga emas menarik perhatian penduduk Kampung Pangkal Kiat, di sini kerana mengamalkan cara hidup Melayu walaupun mereka berketurunan Cina.

Selain berpakaian dan mengamalkan gaya hidup ala-Melayu, Tan Ban Sing, 94, dan isteri, Kua Gok Ti, 89, juga menggunakan dialek Kelantan untuk berkomunikasi dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka yang digelar ‘Cina Kampung’ mengamalkan cara hidup begini sejak zaman kanak-kanak lagi.

Lebih unik, Ban Sing turut dipanggil Pak Hassan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut Ban Sing, daripada pertuturan, cara berpakaian hingga soal makan, dia dan isterinya mengamalkan adab Melayu termasuk makan ulam, nasi berlauk ikan kering dan budu.

Katanya, sejak dari kecil, keluarganya sudah mengamalkan cara hidup itu kerana mempunyai hubungan rapat dengan penduduk setempat.

“Kerana rapatnya hubungan ayah dengan seorang penduduk kampung berketurunan Melayu dahulu, dia membenarkan lelaki itu mengambil saya sebagai anak angkatnya dan diberikan nama ‘Hassan’.

“Hingga kini penduduk setempat memanggil saya dengan nama itu. Ia membuat saya megah menjadi ‘Cina kampung’,” katanya.

Menurutnya, biarpun selesa mengamalkan cara hidup Melayu, dia tetap tidak melupakan tradisi Cina.

“Ramai yang tidak percaya kami masih mengamalkan cara hidup sebegini sehingga ada sebahagian daripada anak dan keluarga lain turut terikut-ikut mengamalkan cara hidup Melayu.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah melupakan asal usul saya sebagai bangsa Cina,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 8:38am
d