utama

Charis Ow sanggup berhabis duit

Oleh Michelle Gun

Demi menghasilkan muzik video mengikut konsep diingini, penyanyi Charis Ow sanggup berhabis ribuan ringgit membeli pakaian dan aksesori penari.

Bukan itu saja, ketua Mouseketeers Club Mickey Mouse ini turut mencari sendiri kostum penari serta keperluan lain bagi pembikinan muzik video Could This Be Love dan Supernova.

Ternyata sekali usaha pelakon berusia 27 tahun itu berbaloi apabila dua muzik video berkenaan menerima banyak komen positif daripada pengguna YouTube.

Bagi muzik video Supernova, Charis menghabiskan masa dua minggu mencari kostum bersesuaian untuk dirinya dan penari di beberapa pusat beli-belah di ibu kota.

“Tema video muzik ini galaksi, bertepatan dengan judul lagunya. Konsep hingga ke setiap butiran kecil, saya pastikan ia seperti yang saya bayangkan.

“Penat juga mencari kostum, aksesori dan kasut bersesuaian untuk diri sendiri dan 12 penari.

“Kalau perhatikan dalam Supernova, warna kuku dan anting-anting dipakaikan termasuk lukisan serta perhiasan dalam bilik juga bertemakan galaksi,” katanya yang membelanjakan RM3,000 untuk persiapan itu.

Konsep single kedua, Could This Be Love pula mengenai percintaan dan menekankan banyak elemen merah serta merah jambu.

Sejak dilancarkan November lalu, lagu berbahasa Inggeris itu mendapat pujian daripada penonton YouTube. Tidak kurang juga ada mengatakan muzik video berkenaan seperti kumpulan Korea Selatan, Red Velvet dan Twice.

Membalas komen netizen itu, Charis menjelaskan, dia peminat tegar industri hiburan Korea Selatan sejak 10 tahun lalu.

“Oleh sebab itu, saya mahu menampilkan fesyen dan ciri K-pop dalam muzik ini supaya ia bertaraf antarabangsa,” katanya yang sangat meminati penyanyi Taeyeon dan Girls Generation.

Malah, dia turut merancang menghasilkan lagu K-pop dalam bahasa Melayu pada masa akan datang.

“Lagu ala-ala K-pop menarik dan tidak ramai artis tempatan melakukannya.

“Saya mahu menarik pendengar luar negara untuk mengenali Malaysia dan bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Pengaruh budaya K-pop

Sejak dilancarkan bulan lalu, single Could This Be Love sudah mencecah lebih 310,000 tontonan di YouTube.

Lagu ciptaan Audi Mok itu diperkenalkan selepas sembilan bulan single sulung, Supernova diperdengarkan.

Charis menjelaskan, dia sanggup mengambil risiko mengeluarkan dua single dalam tempoh singkat kerana jatuh cinta dengan Could This Be Love.

“Sewaktu dengar lagu ini, saya terus suka. Tambahan pula, ketika itu saya memang cari lagu baru,” katanya.

Sebelum menceburi dunia hiburan, Charis aktif berkongsi rakaman video tutorial fesyen dan kecantikan di YouTube tiga tahun lalu.

“Selepas tamat pengajian, saya aktif memuat naik video tutorial. Pada masa sama, saya juga minat menyanyi namun rezeki mengacara datang dulu.

“Saya ingin cuba semua cabang seni dan berharap dapat peluang berlakon selepas ini,” katanya.

Ditanya perancangan seterusnya selepas mengeluarkan dua single, Charis memilih untuk merahsiakannya.

“Sudah pasti saya akan terus menyanyi dan merancang untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain. Cuma saya tidak boleh berkongsi banyak mengenainya kerana mahu tampilkan kejutan,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 6:30am
d