utama

Hobi mahal gadis nakal

Norizuan Shamsuddin

KUALA LUMPUR: Mereka digelar ‘gadis nakal’ kerana minat mendalam terhadap motosikal kuasa tinggi susulan persepsi segelintir masyarakat bahawa aktiviti terbabit tidak sesuai dengan wanita.

Bagaimanapun perkara itu tidak menghalang sekumpulan gadis ini untuk meneruskan minat mereka malah turut memanfaatkannya dengan mencurahkan bakti kepada masyarakat melalui aktiviti konvoi amal.

Itu dilakukan ahli kelab motosikal kuasa tinggi Bad Girls Throttle Malaysia (BGTM) yang aktif melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Presidennya Riana Mansor berkata, kelab yang mengumpulkan penunggang motosikal kuasa tinggi wanita terbabit ditubuhkan pada 2016.

Katanya, sehingga kini BGTM mempunyai hampir 50 keahlian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Keahlian BGTM terdiri daripada penunggang wanita yang memiliki jentera dua roda berkuasa tinggi yang mempunyai kapasiti enjin 600cc ke atas.

“Objektif mengumpulkan pemilik atau penunggang motosikal kuasa tinggi dari kalangan wanita ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan sesama ahli dalam aktiviti sukan permotoran selain bersama melakukan program kemasyarakatan dan kerja amal.

“Sejak penubuhan BGTM, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan termasuk konvoi amal bagi mencurahkan bakti kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Riana berkata, antara program dilaksanakan pada tahun ini adalah konvoi amal ke Pondok Moden Darul Solah, Negeri Sembilan.

“Menerusi program ini, kami melakukan gotong-royong membersihkan pusat pengajian berkenaan serta mengindahkan asrama kediaman pelajar bagi memberikan keselesaan untuk mereka menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

“Kami turut menyumbangkan bantuan kewangan kepada pihak pengurusan pusat pengajian berkenaan hasil derma yang dikumpulkan daripada setiap ahli.

“Selain itu, kami turut mengadakan konvoi amal ke Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai pada 29 Julai lalu.

“Program terbabit dilaksanakan sempena Karnival Keusahawanan yang dianjurkan oleh pihak sekolah berkenaan dan kami dijemput untuk memeriahkan majlis dengan melakukan konvoi motosikal kuasa tinggi dan mengadakan ceramah motivasi serta perkongsian pengalaman kepada murid berikutan ahli kami memiliki pelbagai kerjaya termasuk guru, ahli perniagaan dan peguam.

“Pada 28 Oktober lalu, kami turut mengadakan konvoi amal di pusat jagaan orang tua di Mesra Home, Ampang. Program itu dilaksanakan bagi mendekati dan berkongsi kasih sayang dengan penghuni pusat jagaan berkenaan,” katanya.

Riana berkata, menerusi program yang dianjurkan itu, mereka dapat memanfaatkan minat terhadap jentera kuasa tinggi dengan melakukan aktiviti berfaedah selain mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli.

Katanya, program dilaksanakan juga diharap dapat mengikis persepsi negatif segelintir ahli masyarakat terhadap aktiviti bermotosikal terutama terhadap wanita yang menunggang jentera kuasa tinggi apabila banyak membabitkan diri dalam aktiviti amal serta kemasyarakatan.

“Kami juga mahu buktikan bahawa wanita mampu memiliki dan mengendalikan motosikal kuasa tinggi tetapi kami tidak melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

“Daripada menghabiskan masa, tenaga dan wang dengan menunggang motosikal beramai-ramai ke destinasi tidak berfaedah, lebih baik kami gunakan peluang ini untuk berbakti kepada masyarakat.

“Saya bersama ahli kelab gembira dapat membantu meringankan beban masyarakat kurang bernasib baik dan berbakti kepada negara,” katanya.

Menurutnya, pelbagai program khidmat kemasyarakatan dirancang untuk dilaksanakan pada masa akan datang bagi memastikan BGTM terus mencurahkan bakti kepada masyarakat serta negara.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 8:06am
d