utama

Kucing jadi hantaran

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

MENJADIKAN kucing sebagai hantaran dalam majlis pertunangan. Pelik, namun itu yang dilakukan Tengku Nurul Atika Nabiha Tengku Rosnan dengan pasangannya Mohamad Ibtisam Syafiq Azmi yang melangsungkan majlis pertunangan di Taman Indra Sempurna, Kuantan, 25 Disember lalu.

Lebih menarik, kucing terbabit seolah-olah memahami dan memberi kerjasama baik untuk kekal dalam dulang hantaran sejak awal sehingga selesai majlis.

Nurul Atika, 23, berkata, tunangnya pernah menyatakan hasrat untuk menghadiahkan kucing kepadanya selepas kucing kesayangannya yang dipanggil Oyen mati Oktober lalu.

“Saya ternanti-nanti juga tunang memberikan kucing seperti yang dijanjikan, tetapi tidak sangka ia dijadikan satu daripada tujuh barang hantaran itu.

“Terkejut juga kerana kucing yang diberikan itu sangat istimewa, ia seolah-olah memahami situasi majlis dengan tidak berganjak daripada dulang hantaran.

“Rata-rata tetamu majlis memang pelik dengan tabiat kucing betina kacukan dari baka Parsi dan British Short Hair itu,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kucing dipanggil Mimi itu dibeli tunangnya dengan harga RM350 daripada pembiak kucing di Kuantan dan sudah diberi suntikan vaksin supaya tidak mengalami nasib sama seperti Oyen yang mati kerana dijangkiti penyakit.

“Saya seorang yang sukakan kucing, apabila Oyen mati, saya menangis membuatkan tunang simpati dan menggantikan Oyen dengan Mimi.

“Bagi saya, hadiah hantaran itu paling bermakna kerana ia membuktikan sikap keprihatinan tunang yang bakal menjadi suami nanti,” katanya.

Menurutnya, majlis pertunangannya itu memang agak berbeza dengan kebiasaan, namun tidak mendapat kecaman atau kritikan di kalangan keluarga atau masyarakat dan paling penting ia majlis berjalan lancar dalam penuh kegembiraan.

Sementara itu neneknya, Fatimah Mamat, 60, berkata, sepanjang hidupnya dia tidak pernah melihat kucing dijadikan hantaran.

“Sebagai keluarga sebelah perempuan memang kami terkejut juga, tetapi boleh menerimanya dengan hati terbuka.

“Kami memang sedia maklum dengan sikap Nurul Atika yang penyayang pada haiwan terutama kucing, justeru kami sangat memahami alasan kenapa kucing itu dijadikan hantaran,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 2:49pm
d