utama

Terbaik, boh!

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

LIMA tahun lalu, dia antara orang paling berjaya dan dihormati di Kampung Wakaf Tapai di Marang, dengan kejayaannya menguruskan pelbagai projek pembangunan sehingga bernilai lebih RM3 juta.

Bagaimanapun, kini Mohd Yani Deraman, 52, terpaksa beralih kepada perniagaan baharu iaitu menjual pisang goreng berikutan kekurangan tawaran projek.

Namun, dalam usaha menarik pelanggan di sebalik persaingan sengit perniagaan pisang goreng, Mohd Yani pantas menarik tumpuan ramai apabila menyajikan kelainan.

Orang ramai yang melalui laluan utama Wakaf Tapai ke Ajil pasti pantas menoleh apabila melihat gerai pisang goreng Mohd Yani kerana dia mengenakan pakaian korporat lengkap bertali leher ketika menjual pisang goreng.

Mohd Yani berkata, pada permulaan dia memang berasa malu untuk berniaga pisang goreng, tetapi mengenangkan nasib tujuh anak termasuk empat yang masih bersekolah membuatkan dia sanggup mengenepikan perasaan malu itu.

“Sebelum ini saya menguruskan projek kelas G5 dan projek terbesar pernah diuruskan bernilai RM3.3 juta. Sejak lima tahun kebelakangan ini, tawaran projek baru tiada, justeru saya terpaksa menganggur selama tiga tahun sebelum berjinak dengan perniagaan lain.

“Tahun lalu saya menjual udang, tetapi tidak bertahan lama kerana pelbagai faktor sebelum mengikuti kursus Goreng Pisang Crispy (GPC) di Kuala Lumpur dan menjalankan perniagaan itu sekarang,” katanya ketika ditemui di gerainya, di Marang, hari ini.

Mohd Yani berkata, dia memilih mengenakan pakaian korporat kerana sudah terbiasa dengan gaya itu sebelum ini ketika di pejabat atau menghadiri pelbagai mesyuarat berkaitan perniagaan.

“Bagaimanapun, saya tidak selalu berpakaian begitu tetapi bergantung kepada ‘mood’ dan hari tertentu. Ternyata kelainan yang saya bawa ketika berniaga di gerai meraih perhatian ramai kerana ia mencetus kelainan.

“Apabila memikirkan nasib saya sekarang, ia agak menyedihkan, tetapi saya anggap itu roda kehidupan. Pendapatan saya ketika menjadi kontraktor pernah mencecah RM25,000 sebulan, tetapi sekarang tidak menentu antara RM200 hingga RM300 sehari.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan rezeki yang ada sekarang dan cukup untuk menampung keperluan keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia bukan sahaja menjual pisang goreng tetapi turut menyediakan tempe goreng, keropok goreng dan menu istimewa dan terbaru nenas goreng dengan harga RM1 untuk tiga keping.

“Saya harap kesanggupan saya bermula daripada bawah selepas pernah berasa di puncak dalam bidang perniagaan boleh menjadi teladan kepada masyarakat terutama golongan muda yang berasa malu untuk berniaga di tepi jalan seperti itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 2:51pm
d