utama

'Ibu, apa makna anak yatim?'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

“PERASAAN saya sebak bila dia bertanya di mana ayahnya,” kata Siti Hazwani Ahmad, 32 balu kepada Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia di Amerika Syarikat, tiga tahun lalu.

Siti Hazwani berkata, anak sulungnya Muhammad Aqil Tahfiz Hasman ,7, yang melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Lavender Height di Seremban tahun depan, bertanyakan apakah makna anak yatim.

“Saya menceritakan keadaan yang berlaku dan walaupun dia seakan memahami, namun pada masa sama tetap mahu seorang ayah di sisinya termasuk menghantarnya ke sekolah,” katanya.

Siti Hazwani berkata, ketika kejadian menimpa arwah suaminya, Muhammad Aqil Tahfiz baharu berusia tiga tahun dan belum mengerti apa-apa.

Katanya, dia sebak ketika menghantar Muhammad Aqil mendaftar tahun satu kelmarin.

“Ketika guru bertugas meletakkan Muhammad Aqil dalam kategori anak yatim, dia hanya senyap, namun selepas selesai pendaftaran dia bertanya apa maksud anak yatim.

“Kemudian, dia beritahu tidak mahu jadi anak yatim dan mahukan ayah supaya boleh menghantarnya ke sekolah seperti murid lain seperti yang dilihatnya pada hari itu,” katanya.

Katanya, dia kuatkan semangat untuk tidak membiarkan air matanya gugur di depan Muhammad Aqil walaupun mengerti perasaan rindu anaknya pada arwah ayahnya.

Siti Hazwani berkata, dengan bantuan ahli keluarga, dia berjaya menguruskan tiga anak termasuk dua kembar Muhammad Aqil Solihan dan Muhammad Aqil Solihin berusia tiga tahun.

“Kekuatan saya pada hari ini kerana anak-anak biarpun pernah mengalami kemurungan selama lapan bulan akibat kehilangan suami secara mengejut, namun saya perlu bangkit demi mereka.

“Saya mahu anak-anak dibesarkan dan menerima pelajaran dunia dan akhirat secukupnya seperti yang diamanatkan arwah suami,” katanya.

Allahyarham Kapten Hasman meninggal dunia selepas kereta dinaiki dihanyutkan banjir dalam kejadian di Missouri, Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2015.

Allahyarham ketika itu sedang mengikuti kursus di sebuah kem tentera di AS.

Berita berkaitan

Mayat Kapten Hasman ditemui

Tentera siap terima jenazah Kapten Hasman

Jenazah Kapten Hasman selamat tiba

Jenazah Kapten Hasman dikebumikan esok [METROTV]

Nafi abaikan balu Kapten Hasman

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 1:47pm
d