utama

Sedekah Subuh 40 hari

Oleh Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: Masukkan sendiri wang dalam tabung setiap Subuh hingga genap 40 hari sebelum hasil terkumpul itu disalurkan kepada golongan memerlukan.

Itu konsep mudah Pertubuhan Kebajikan Sedekah Subuh dalam mendidik ahlinya supaya konsisten bersedekah setiap hari tanpa mengira besar atau kecil jumlah sumbangan terbabit.

Pengasasnya, Mahawa Pilus berkata, idea berkenaan tercetus selepas dia terkesan dengan petikan sebuah hadis mengenai kebaikan bersedekah dan keburukan tidak membuat amal itu.

“Saya terbaca artikel mengenai satu hadis yang mengatakan setiap pagi, dua malaikat akan turun bersama matahari.

“Satu daripadanya memohon: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi dermawan yang menyedekahkan hartanya’ manakala satu lagi memohon: ‘Ya Allah, musnahkanlah harta si bakhil.’

“Saya membuat sedikit penyelidikan dan merujuk hadis itu kepada beberapa ilmuwan agama dan mereka mengesahkan kebenaran hadis berkenaan sebelum saya akhirnya terfikir membuat konsep sedekah ini,” katanya.

Menurutnya, bermula 2004 dia memulakan langkah dengan menyimpan sendiri wang dalam bekas setiap hari dan menyalurkannya kepada golongan kurang bernasib baik selepas 40 hari mengumpulnya.

“Pada mulanya saya jadikan itu sebagai rutin bersama ahli keluarga terdekat sebelum lama-kelamaan konsep itu tersebar daripada mulut ke mulut dan media sosial.

“Apabila semakin ramai mengamalkan rutin itu, saya akhirnya mendaftarkan pertubuhan ini sebagai badan kebajikan pada 2014 untuk memudahkan urusan penyaluran dana kepada pihak memerlukan,” katanya.

Mahawa berkata, mereka memanfaatkan sebaiknya setiap wang sedekah dengan membantu mereka memerlukan dan kurang bernasib baik di dalam negara dan luar negara.

“Rutin kami setiap hari ialah memberi sarapan kepada 15 keluarga fakir miskin di sekitar Tampin, Negeri Sembilan, 20 pelajar miskin di sebuah sekolah di Beufort, Sabah, 25 pelajar di sekolah Gombak, Selangor serta 25 orang di Terengganu.

“Kami juga menyediakan Program Makan Jumaat dengan memberi makan tengah hari kepada 15 anak yatim dan fakir miskin di sekitar Tampin, Bangi dan Kajang.

“Kami juga ada wakil di Makkah untuk memberi makan kepada 20 orang di kawasan Masjidil Haram setiap hari,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Dwi Bahasa Institut Pendidikan Guru Islam, Bandar Baru Bangi itu berkata, setiap Disember dan Januari, mereka juga aktif menganjurkan program kembali ke sekolah dengan membantu pelajar miskin membeli kelengkapan sekolah baru.

“Setiap tahun kita membantu 30 pelajar di satu sekolah masing-masing di Kajang, Bangi dan Tampin serta di Sabah dan Sarawak mengikut giliran dan bajet.

“Pada masa sama, kita juga menyalurkan wang saku setiap bulan kepada 10 pelajar miskin cemerlang yang menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, seramai 13 pesakit kanser di Melaka juga diberikan bantuan sara hidup untuk membeli barangan keperluan dapur dan kos ulang-alik mendapatkan rawatan dan kemoterapi,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 8:03am
d