utama

Bawa pita pengukur bersama rokok, 'lighter'

Oleh Suraya Roslan

“KAMI menyahut seruan kerajaan,” demikian mesej ingin disampaikan dua individu yang membawa pita pengukur di sebuah kedai makan di Kota Bharu, Kelantan, hari ini, sebagai tanda sokongan untuk merokok dalam jarak tiga meter dari kedai makan.

Larangan merokok di sembilan premis awam seperti restoran dan kedai makan berkuatkuasa serta-merta, hari ini dan individu yang ditahan kerana melakukan kesalahan terbabit berdepan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Bagaimanapun peraturan itu sudah mengambil kira keperluan perokok dengan mereka dibenarkan merokok dengan syarat berada tiga meter atau 10 kaki dari restoran dan warung terbuka.

Pemilik UV Print Station di Kota Bharu, Mohamed Aniff Mohamed Ariffin, 39, berkata, sebaik larangan itu dikuatkuasakan, dia menyahut seruan kerajaan dan membawa pita pengukur bagi membolehkannya merokok di tempat awam.

Gambar Mohamed Aniff dan pekerjanya, Fazil Abidin, 25, menjadi tular di media sosial apabila dia dilihat mengukur jarak tiga meter untuk merokok dari sebuah premis makanan.

“Saya seorang perokok tegar namun perlu menghormati undang-undang yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Disebabkan itu, saya membawa pita pengukur dan mengukur jarak tiga meter untuk merokok dari tempat makan kami, tidak susah jika kita bertolak ansur dan ini situasi menang-menang untuk semua,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bapa empat anak itu berkata, dia menghormati individu tidak merokok dan merasakan undang-undang baru itu bagus dan perlu diamalkan oleh semua pihak termasuk perokok.

“Apabila kita sudah biasa dengan jarak tiga meter, tidak perlu lagi membawa pita pengukur dan diharap ini menjadi amalan untuk saling menghormati antara perokok dan mereka tidak merokok.

“Saya faham kadang kala apabila kita tidak merokok, kepulan asap mengganggu selera makan dan ketenteraman awam, jadi sama-samalah kita bekerjasama bagi menyahut seruan kerajaan ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 11:04pm
d