utama

'Soal cinta, biarlah dulu'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SETIAP kali bertemu pelakon Emma Maembong, pasti terselit pertanyaan mengenai teman lelaki.

Menjadi teka-teki kerana hubungan cintanya dengan pelakon Kamal Adli dikatakan sudah berakhir namun mereka masih kekal mesra.

Menjawab persoalan ini, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 27, berkata, dia selesa dengan situasi yang dilaluinya sekarang.

“Alhamdulillah, setakat ini fokus saya lebih kepada kerjaya.

“Soal cinta, biarlah dulu. Kata orang kalau ada jodoh adalah,” katanya tenang.

Ditemui pada majlis kesyukuran meraikan kemenangan pada Anugerah Bintang Popular (ABPBH31) anjuran kelab peminatnya, Emanizers FC baru-baru ini, Emma mengakui tidak terfikir untuk kembali menjalin hubungan cinta dengan Kamal Adli.

“Kami memang masih berkawan baik dan tidak bermusuh. Jika dia hubungi saya untuk ajak makan bersama, saya okey saja.

“Biarpun tiada jodoh antara kami, saya tidak mahu hubungan ini terus terputus.

“Sebenarnya normal jika pasangan yang putus cinta itu bergaduh. Kami juga begitu tapi selepas ambil masa beberapa ketika, kami teruskan hubungan sebagai kawan biasa,” katanya.

Menurut Emma, tidak susah menukar perasaan daripada pasangan kekasih menjadi kawan.

“Setakat ini semuanya okey. Kami masih boleh makan bersama. Setiap kali jumpa kami akan berbual sebagai kawan dan bukan berbicara soal perasaan.

“Malah, kami lebihkan berbual berkenaan karier masing-masing bagi mewujudkan suasana selesa.

“Kami takkan sesekali sebut soal peribadi. Ia lebih kepada sesi gelak ketawa. Kadang-kadang ada juga saya usik tanya sama ada dia sudah ada teman baru tapi Kamal jawab nak fokus bekerja,” katanya.

Emma berkata, konsep yang diamalkannya mudah iaitu bergaduh habis-habisan dan selepas itu kembali berbaik.

“Bagi saya kalau kami bergaduh, biarlah habis-habisan dan cukup setakat itu.

“Selepas itu minta maaf dan tutup buku. Jangan ungkit dan buka semula cerita lama. Tiada istilah dendam.

“Sebab itulah saya boleh berkawan dengan bekas kekasih. Kalau tengok, Zizan boleh usik-usik saya pada satu majlis anugerah. Saya okey saja,” katanya yang menganggap pergaduhan berpanjangan seperti menyekat akaun Instagram satu perkara yang tidak matang.

Bapa tak kongkong

SAMA ada mempunyai kekasih atau solo, tiada bezanya buat Emma kerana rutin hariannya tetap berkisarkan kepada kerja, perniagaan dan keluarga.

“Dari dulu sampailah sekarang inilah kehidupan saya.

“Kalau tengok di Instagram pun aktiviti percutian saya banyak dengan keluarga dan kawan.

“Cuma, kalau ada kekasih saya akan curi masa untuk bersama dia. Jika tiada, inilah yang saya lakukan, “ katanya.

Emma bagaimanapun tidak menolak jika tanpa semua ini, dia akan ‘frust menonggeng’ dan berkurung di rumah apabila putus cinta.

“Setiap kali buka mata waktu pagi, saya akan fikir komitmen nak kena bayar rumah, bil kereta dan pelbagai lagi.

“Untuk tahun baru ini, saya sukar meramal untuk buka hati kepada lelaki bergelar kekasih kerana fokus saya masih lagi terarah kepada kerjaya dan pelbagai komitmen lain.

“Saya juga tidak meletakkan syarat tertentu buat mana-mana lelaki yang mahu mendekati saya. Tidak kisah jika dia orang biasa atau sesama anak seni,” katanya.

Dalam pada itu, Emma menafikan sikap cerewet bapanya menjadi punca dia tidak kekal dengan mana-mana lelaki.

“Ayah tidak pernah masuk campur dan akur dengan pilihan saya. Cuma sebagai anak sudah tentulah kita kena hormat dan minta restu ayah dalam hal ini.

“Ayah seorang yang ‘sempoi’ dan tidak melarang minat saya berlakon. Bahkan dia juga datang set tengok saya.

“Kalau nak kata dia kongkong saya, dah lama dia buat begitu. Apa saja yang saya nak, dia turutkan. Janji saya pandai jaga diri,” katanya.

Emma berkata, mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya perlulah memenangi hati ibu bapanya.

“Mereka perlu kenal hati ayah dan mama saya. Jika mereka restu okay saja.

“Jika sebaliknya, pujuklah hati mereka sehingga mereka restu,” katanya yang bakal tampil dengan drama rantaian Kerana Dia Manusia Biasa di TV3 tidak lama lagi.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 5:30am
d