utama

'Kena pulak ni...'

Oleh Zaid Salim

KUALA TERENGGANU: “Mari pejabat agama, jamin aku...kena pulak ni” begitulah ungkapan bersahaja lelaki berusia 59 tahun ketika meminta rakannya datang ke Pejabat Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Kompleks Seri Iman di sini, semalam.

Terdahulu, lelaki terbabit dan pasangannya yang juga wanita berusia 41 tahun ditahan penguat kuasa JHEAT di rumah tumpangan di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, jam 2 pagi.

Wanita terbabit berasal dari Kampung Nesan Empat manakala lelaki itu dari Nibong Bawah dan mereka pernah ditahan kerana melakukan kesalahan sama beberapa bulan lalu.

Ketika ditahan pagi semalam, pasangan terbabit yang dipercayai sudah beberapa hari menginap di rumah tumpangan berkenaan dikatakan sedang tidur berikutan penguat kuasa menunggu lama sebelum pintu bilik dibuka lelaki itu yang hanya berkain pelekat.

Menyedari kesalahan yang dilakukan, lelaki berstatus suami orang itu merayu supaya tidak dikenakan tindakan dengan alasan sebelum ini mereka pernah ditahan manakala kes terbabit masih belum selesai.

Bagaimanapun, rayuan lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu gagal melembutkan hati penguat kuasa sebaliknya dia dan pasangannya diminta bertaubat kerana melakukan perbuatan yang jelas melanggar hukum agama.

Lelaki terbabit juga langsung tidak menunjukkan rasa kesal dan insaf apabila dengan selamba menghubungi rakannya untuk datang menjaminnya.

Ketika soal siasat, lelaki terbabit mendakwa berlaku persengketaan dengan isteri menyebabkan wanita berkenaan tidak membenarkan dia pulang ke rumah.

Lelaki terbabit dan pasangannya kemudian dibebaskan dengan jaminan mulut oleh seorang penjamin.

Di lokasi berbeza, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditahan kerana bersekedudukan dengan lelaki bukan Islam pada serbuan di hotel bajet berhampiran Plaza Perdana di sini, jam 2 pagi.

Remaja berasal dari Jalan Nibong Bawah, Dungun dan aktif dalam sukan bela diri itu kemudian dibebaskan dengan jaminan mulut oleh bapanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT Azam Awi berkata, pihaknya melakukan serbuan dan pemeriksaan di beberapa hotel bajet selain rumah tumpangan di sekitar bandar ini juga Kuala Nerus.

“Hasil operasi, kami melakukan dua tangkapan membabitkan tiga individu di dua lokasi berbeza,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 8:14am
d