utama

Panik sesat di laluan tangga

Oleh Faris Fuad

PERASAAN teruja tiga sekawan menyambut tahun baharu bertukar cemas selepas mendapati tiada jalan keluar di laluan tangga hotel di Genting Highlands, semalam.

Kesemua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu yang berada dalam keadaan panik menghubungi talian kecemasan bomba dengan memaklumkan mereka kononnya terperangkap dalam lif.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pada 1.53 pagi.

"Anggota bomba yang tiba di hotel itu memeriksa lif berkenaan namun tidak menemui sebarang mangsa.

"Selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel terbabit, kita ada nampak kelibat tiga lelaki yang dalam keadaan kelam-kabut.

"Saya berpendapat mereka panik ketika membuat panggilan kecemasan itu. Rupanya mereka sesat hampir 20 minit di laluan tangga berkenaan," katanya pada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem keselamatan di hotel itu memerlukan individu menggunakan akses kad ketika keluar dari laluan tangga berkenaan.

"Punca kejadian mungkin kerana mahu menggunakan jalan pintas ke tempat lain.

"Kebanyakan bangunan di Genting Highlands bersambung.

"Niat untuk menggunakan jalan pintas gagal selepas 'tersangkut' di hotel itu," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 7:16pm
d