utama

Demimu Damia!

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

KOTA BHARU: Usianya baru empat tahun, namun seorang kanak-kanak perempuan hanya terlantar akibat menghidap penyakit hydrocephalus sejak lahir.

Anak bongsu daripada dua beradik, Ummu Damia Khalisya Saifful Amilin, 4, turut disahkan buta kedua-dua belah mata sejak Julai lalu.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Fazatul Azren Husin, 32, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan mempunyai lebihan cecair dalam kepala ketika lapan bulan dalam kandungan.

Menurutnya, sebelum lahir anaknya dijangka hanya mampu hidup dalam tempoh dua minggu, tetapi kuasa Allah tidak siapa yang tahu apabila dapat hidup sehingga kini.

“Anak saya disahkan tidak normal dan menjalani pembedahan membuang cecair di kepala ketika berusia empat bulan.

“Selepas itu, anak saya kerap diserang sawan dan ada masanya sehingga 17 kali sehari.

“Akibat penyakit itu, anggota badan anak saya lumpuh dan hanya terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Bonggor, Binjai di sini, semalam.

Lebih malang, apabila ibu tunggal itu berpisah dengan bekas suaminya sejak dua tahun lalu dan kini dia menumpang berteduh di rumah sewa ibu bapanya.

Fazatul Azren berkata, bagi menampung keperluan anaknya yang memerlukan susu, makanan bijirin dan lampin pakai buang, dia bekerja sebagai tukang kemas (housekeeping) di sebuah hotel bajet di Kubang Kerian dengan pendapatan RM450 sebulan.

Menurutnya, dengan pendapatan itu dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan digunakan untuk menampung keperluan dan persekolahan anak sulung, Muhammad Khalif Naufal, 9, di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan.

“Perbelanjaan untuk anak istimewa saya RM500 sebulan, namun saya bersyukur kerana ibu bapa banyak membantu termasuk menjaga Ummu Damia Khalisya ketika saya keluar bekerja.

“Anak saya perlu penjagaan rapi kerana mudah jatuh sakit dan terkena sawan serta mengalami masalah sembelit apabila membuang air besar seminggu sekali selepas dimasukkan ubat,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun BSN 0300341000132103 milik Fazatul Azren Husin.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 7:54am
d