utama

[UPDATE] Dipecat kerana masalah disiplin, faktor usia

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEMECATAN 25 imam kariah di Perlis bukan dilakukan kerana mereka membaca doa qunut dan zikir kuat selepas solat fardhu, sebaliknya kerana faktor usia dan masalah disiplin.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata majoriti imam ditamatkan perkhidmatan itu berusia antara 61 hingga 68 tahun menyebabkan mereka melebihi had umur ditetapkan.

Beliau berkata, ada beberapa imam muda turut ditamatkan perkhidmatan atas faktor tertentu ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Ini adalah peraturan ditetapkan dalam enakmen negeri dan jika ada yang masih menjadi imam meskipun sudah terlebih umur, itu adalah kuasa MAIPs yang menentukannya atas faktor budi bicara.

“Mereka (imam) yang berkata bahawa diberhentikan atas faktor membaca qunut dan sebagainya adalah tidak betul kerana terdapat sebilangan yang dipecat patuh mengikut arahan dikeluarkan MAIPs dan Jabatan Mufti Perlis.

“Kenapa mereka (imam yang patuh) turut dipecat? Kerana umur sudah lebih, bagilah peluang kepada anak hafiz dan yang muda berkelulusan agama peluang berbakti kepada agama di negeri ini,” katanya dalam kuliah khas di Masjid Alwi, Kangar, malam ini.

NSTP hari ini melaporkan seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat JAIPs, berkuat kuasa Selasa lalu.

Surat bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat.

Mengulas lanjut mengenai isu pemecatan itu, Mohd Asri berkata, terdapat imam muda dipecat daripada kalangan 25 imam terbabit mempunyai masalah disiplin.

“Mereka dipecat kerana cenderung membawa isu kepartian politik ke dalam jawatankuasa masjid. Ini boleh dilihat apabila mereka menjemput penceramah cenderung dalam politik hadir memberi ceramah di dalam masjid.

“Kita sudah maklumkan, masjid di negeri ini mesti bersih daripada politik. Itu belum dikira jika imam terbabit dirungut masyarakat kampung atas masalah disiplin yang dilakukan mereka,” katanya.

Mohd Asri berkata, isu hilang jawatan adalah normal di dunia ini dan ia bukan isu yang perlu diperbesarkan.

“Perdana Menteri pun boleh hilang jawatan ketika memerintah dan presiden parti politik pun ditolak daripada menjawat jawatan mereka.

“Apatah lagi jawatan Imam Masjid yang dianggap orang ramai sebagai jawatan yang sekadar sahaja,” katanya.

Berita berkaitan

'Surat lain yang sampai...'

[UPDATE] Mufti jawab dalam kuliah malam ini...

'Hanya istana boleh lakukan' - Mufti Perlis

Perlis pecat 25 imam

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 9:51pm
d