utama

Serabut deruan pesawat

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PASIR GUDANG: Pesawat ringan atau kapal terbang yang berlegar di ruang udara Malaysia bukanlah isu baru, tetapi penduduk kawasan sekitar mengharapkan ia dapat diselesaikan selepas mendapat perhatian sejak kebelakangan ini.

Ia berikutan penguatkuasaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang diperkenalkan oleh Singapura bermula kelmarin.

Penduduk, Hawa Yusof, 58, berkata, penerbangan Singapura selama ini memang ada melalui ruang udara negara dan ia sedikit-sebanyak mengganggu kehidupan penduduk terutama daripada segi pencemaran bunyi.

“Sebenarnya, setiap hari memang kita dapat gangguan kapal terbang Singapura yang melalui ruang udara kita.

“Kalau nak cakap soal pencemaran udara ke, persekitaran atau kesihatan, saya tidak pandai tetapi kalau pencemaran bunyi itu memang ada.

“Saya sudah tinggal di sini (Kampung Tanjung Langsat) sejak 1979 dan sudah bertahun-tahun saya selalu nampak ada kapal terbang Singapura yang terbang rendah dan ia kerap berlaku tetapi tidak tentu masa.

“Saya pernah nampak kapal terbang biasa, kadang-kadang ada bunyi macam jet pejuang lebih kuat,” katanya.

Hawa yang juga suri rumah berkata, ditambah dengan pelaksanaan ILS, ia mungkin mendatangkan kesan lebih teruk pada masa akan datang terutama penduduk sekitar Pasir Gudang.

“Apa yang saya faham, ada sampai kita dikenakan syarat tertentu macam tak boleh ada bangunan tinggi sebab akan ganggu apa-apa penerbangan.

“Itu nanti akan mengganggu pembangunan Pasir Gudang,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Pasir Gudang semalam mendapati walaupun ada kelihatan kelibat beberapa pesawat ringan di ruang udara, namun dipercayai ia masih dalam ruang udara republik berkenaan kerana ia kelihatan begitu kecil dan bergerak jauh.

Bagi penduduk Kampung Pasir Putih, dekat sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Abdullah, 53, dia jarang melihat kehadiran kapal terbang dalam jarak yang dekat, sebaliknya hanya bunyi jet yang lebih besar memberi gangguan.

Menurutnya, kehadiran jet itu biasanya pada waktu hampir Maghrib ketika pihak berkuasa republik itu kemungkinan melakukan latihan.

“Di sini, bukan kerap sangat boleh nampak tetapi sesekali ada,” katanya.

Dalam satu notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 1 Disember lalu, prosedur pelaksanaan ILS bagi landasan 21 di Lapangan Terbang Seletar berkuatkuasa pada jam 12 tengah malam.

Lapangan terbang itu digunakan untuk pesawat kargo dan pesawat persendirian.

Awal bulan lalu, Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi, selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Malaysia turut mengisytiharkan pewujudan kawasan larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu.

Susulan itu, Singapura akan bertemu Malaysia pada Selasa nanti bagi membincangkan pewujudan kawasan larangan kekal oleh Kuala Lumpur bagi tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 8:22am
d