utama

'Senang je cakap nak ganti...'

Oleh Ardini Sophia Sina

“INI hari ketiga saya berada di Semenyih untuk mencari ‘Pekan’. Saya dah la demam. Dah beberapa hari tak makan dan tidur tak lena,” kata Rita Rudaini.

Pelakon itu mengulas mengenai kehilangan kucing kesayangannya yang digelar Pekan, sejak 2 Januari lalu.

Menurut Rita, haiwan itu hilang selepas dipinjamkan kepada seorang individu untuk tujuan 'mating' atau pembiakan.

Ketika dihubungi hari ini, Rita berkata, dia masih berada di kawasan Semenyih untuk mencari Pekan yang hilang sejak 2 Januari lalu.

“Hanya pencinta kucing saja yang faham perasaan saya,” katanya.

Rita turut meluahkan perasan kecewa atas kecuaian individu terbabit sehingga menyebabkan kehilangan haiwan itu.

“Saya kesal kerana semalam, dia langsung tak tolong atau tunjuk tempat. Itu kawasan perumahan dia, mestilah dia lebih arif.

“Sepatutnya dia tunjuk kawasan yang berkemungkinan kucing itu bersembunyi. Kenapa tiada rasa segan dan bersalah pada saya?” katanya.

Menurutnya, dia memberikan kepercayaan individu itu untuk menjaga Pekan dengan baik.

Katanya, individu berkenaan ada menyuarakan niat untuk menggantikan kucing jantan jenis British Short Hair itu, namun ia tidak dapat melegakan perasaannya.

“Senang je cakap nak ganti. Ini benda bernyawa, bukannya telefon bimbit atau pun pensil. Tambahan pula, saya bela Pekan sejak kecil lagi.

“Saya mohon, sesiapa yang menjumpai Pekan, tolong pulangkan kepada saya," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 9:09pm
d