utama

Pagi sekolah, petang bantu ibu sapu jalan

Oleh Agensi

Beijing: Seorang budak lelaki berusia 11 tahun menyentuh perasaan jutaan pengguna media sosial di China selepas gambarnya membantu ibunya menyapu sampah di tepi jalan supaya wanita itu dapat pulang awal ke rumah tular di Internet.

Budak lelaki itu mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna media sosial memuat naik gambarnya di Weibo pada Mac lalu.

Gambar berkenaan menunjukkan Long Guotao menyapu sampah di satu jalan utama di Kaili di wilayah Guizhou manakala ibunya, Wu Azhen berehat berhampiran.

Gambar itu dikongsi oleh ribuan pengguna media sosial yang tersentuh dengan sikap Long yang suka membantu ibunya.

Wu yang ditemui portal Thepaper.cn baru-baru ini berkata, Long adalah seorang anak yang baik.

“Pada setiap hari saya bangun pada jam 5 pagi untuk membersihkan jalan dan apabila saya siap membuang semua sampah, hari sudah gelap.

“Anak bongsu saya itu sering melihat saya kepenatan bila pulang ke rumah, jadi dia sering datang membantu saya,” katanya.

Bagaimanapun, wanita berusia 46 tahun itu memberitahu, dia tidak mahu Long datang ke tempat kerjanya dan mahu anaknya itu mengulang kaji pelajaran di rumah.

“Keputusan peperiksaannya baru-baru ini tidak beberapa baik, kini saya tidak membenarkannya datang ke sini kerana mahu dia menumpukan kepada pelajarannya,” katanya.

Menurutnya, Long sering datang ke tempat kerjanya untuk membawa makanan dan dia kadangkala membantunya menyapu serta mengutip sampah sebelum pulang.

“Kadangkala, apabila Long selesai menyapu sampah dia akan membantu saya mengutip botol plastik dan kertas yang dibuang.

“Kerja seperti ini adalah berat untuk orang semuda anak saya,” jelasnya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 7:00am
d