utama

'Ada 5 anak tidur dalam kereta' [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Menjadi orang nombor satu di jabatan yang sering dicop sebagai penyelesai masalah hidup bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia yang terkenal dengan seribu satu ragam warganya.

Pun begitu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) yang memulakan tugas 1 April lalu mempunyai fokus khusus untuk menjadikan warga kota dapat hidup selesa dengan pelbagai fungsi sosial sebagai sebuah agensi kerajaan.

Fatimah Zuraidah Salleh, 48, sedar bukan mudah untuk dia dan kakitangan jabatan memuaskan hati rakyat di bandar raya ini. Pelbagai sudut pandang dan iltizamnya dikongsikan bersama wartawan Yusmizal Dolah Aling untuk Kafe Ahad minggu ini.

Apakah keutamaan sebagai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) yang baru?

Saya mula lapor diri pada 1 April lalu dan sudah berada di sini dalam enam bulan. Sebelum ini saya di ibu pejabat di Bahagian Perancangan dan Pembangunan yang fokus kepada strategik dan rancangan kerajaan.

Saya melihat perkara yang diputuskan di peringkat dasar serta rancangan besar seperti Rancangan Malaysia ke-11.

Di sini sebagai pengarah negeri, saya perlu laksanakan semua yang diputuskan di peringkat dasar kepada warga kota.

Jadi kalau nak ikutkan di bawah JKM ini kita ada sepuluh kumpulan sasar. Jadi ia sangat besar dan luas bagi merencana atau memastikan semua dasar atau perancangan kerajaan berjaya.

Fokus saya di sini untuk membantu mengembalikan keperluan sosial terutama kepada mereka yang memerlukan terutama mereka yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Saban hari kita menerima pelbagai aduan dan 80 peratus aduan itu datangnya daripada mereka yang menjadi penghuni PPR. Pada saya fokus JKMWPKL pada tahun ini ialah mengembalikan keperluan sosial bagi mereka yang memerlukan khususnya di PPR.

Kuala Lumpur adalah ibu negara yang cukup dikenali sebagai lokasi pelancongan dan tumpuan dari seluruh dunia. Apa cabaran JKMWPKL dalam memastikan imej sedia ada dapat dipertingkat khususnya membabitkan masyarakat di kota raya?

Cabaran itu sangat banyak. Salah satu yang dihadapi pegawai saya ialah bilangan kekuatan untuk menangani isu di ibu kota ini. Kadangkala mungkin ada isu yang agak terlewat untuk kita tangani sebab pegawai saya perlu melunaskan kerja lain yang lebih diberikan keutamaan.

Namun begitu pada masa sama, kita tidak menjadikan itu sebagai halangan utama. Walaupun ia cabaran kerana kita juga mempunyai rakan strategik yang lain yang dapat membantu jabatan. Contohnya kita ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada dengan kita, syarikat korporat juga ada dengan kita. Pada masa sama, kita ada individu bukan kerajaan (NGI) yang turut bersama dengan kita.

Sejak Puan di sini, apakah masalah yang Puan dapati seolah-olah tidak pernah selesai di Kuala Lumpur yang berhubung kait dengan JKMWPKL?

Kalau masalah yang tak selesai ini saya percaya ialah kemiskinan bandar. Isu kemiskinan bandar kalau kita tengok statistik JKM, mereka yang memohon bantuan dari semasa ke semasa bertambah.

Pada tahun lepas kita mempunyai bilangan penerima dalam 10,000 lebih, tetapi dalam tempoh beberapa bulan ini susulan daripada perubahan kriteria pemberian bantuan bilangannya meningkat.

Kita sudah mengubah daripada melihat kepada kadar pendapatan garis kemiskinan kepada per kapita. Jadi permohonan mereka yang layak bertambah.

Untuk tempoh daripada Januari sehingga Oktober lalu berlaku peningkatan 1,000 lebih. Bermakna daripada 10,000, sekarang permohonan bantuan bertambah kepada 11,745 orang.

Pada masa yang sama, kita masih menyiasat ribuan kes permohonan bantuan untuk menentukan sama ada layak atau tidak.

Persepsi masyarakat ketika ini ialah JKM tempat meminta duit. Dalam konteks di Kuala Lumpur, apa yang masyarakat perlu tahu dari segi peranan jabatan?

Persepsi yang ada adalah JKM tempat orang minta duit. Jadi pegawai kebajikan adalah orang yang memberikan bantuan kewangan, tak lebih daripada itu.

Sebenarnya kita memainkan banyak peranan lain. JKM contohnya adalah pelindung kepada kanak-kanak terabai atau teraniaya. Kalau kita tengok laporan pun, semakin hari kes macam ini semakin bertambah. Ini juga adalah satu perkara yang amat membimbangkan.

Pegawai JKM akan turun kalau ada kes dan mereka akan terus menyiasat untuk tempoh tidak lewat daripada 24 jam.

Mereka akan berada di sana untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak tersebut terjaga. Yang kedua, kita juga bertanggungjawab terhadap pengurusan warga emas.

Kita akan menuju kepada negara menua tahun 2030. Jadi kepentingan kepada warga emas perlu diambil berat.

Namun Kuala Lumpur belum lagi negeri menua. Kalau kita tengok kepada statistik sebelum ini Pulau Pinang adalah negeri yang sudah capai status negeri menua dan begitu juga Perak.

Kita juga menjaga kebajikan orang kurang upaya (OKU). Warga kota juga perlu tahu bahawa JKM berperanan untuk membantu golongan OKU dan kerajaan meluluskan 29 skim kemudahan kepada OKU.

Kalaulah masyarakat di luar sana tahu tentang OKU yang memerlukan bantuan, tetapi tidak diberikan perhatian, mohon dimaklumkan kepada pegawai JKM untuk kita lakukan intervensi yang bersesuaian.

Saya juga ingin ingatkan kepada warga kota bahawa salah satu fungsi lain JKM ialah pengurusan pengemisan.

Kita tertakluk di bawah Akta Orang Papa 1977 dan salah satu tugas kita adalah untuk memastikan bahawa kota yang kita yang kita sayangi ini bebas daripada pengemis.

Apa perancangan dan fokus JKMWPKL selepas ini?

Pada tahun ini kita ada satu program, KAWAN yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ia program berbentuk sentuhan hati rakyat.

Kita turun bersama dengan rakyat, mengenal pasti apa masalah di kawasan berkenaan. Program yang akan kita laksanakan juga betul-betul mendekati rakyat. Kita akan bawa pasukan kita. JKM akan turut di kawasan rakyat ramai dan banyak isu.

Kita juga rangka program My Community Care. Kita dah mulakan bermula di parlimen Lembah Pantai sebagai projek rintis dan tahun depan kita akan jelajah ke seluruh parlimen untuk program peduli komuniti yang lebih besar daripada program Kawan kerana membabitkan pelbagai agensi di ibu negara.

Sepanjang di Kuala Lumpur, apakah kes yang begitu menyentuh hati Puan yang masih diingati sampai hari ini?

Ada banyak kes yang saya lalui, tetapi ada dua kes yang menyentuh hati saya. Pertama, apabila saya terlibat dengan Op BAH, di satu flat, apabila saya berhadapan dengan satu keluarga, ibu bapanya adalah penagih dadah dan anak-anaknya terbiar di dalam rumah yang dipenuhi kain buruk dan lusuh.

Jadi saya perlu selamatkan kelima-lima anak itu yang masih kecil. Mereka mempunyai masalah tidak bersekolah dan tidak mempunyai pendaftaran kelahiran. Ada juga yang tidak mempunyai zat makanan yang cukup kerana emak dan ayah penagih dadah.

Apa yang menyentuh hati saya adalah bagaimana mereka membesar dalam keadaan sedemikian kerana mereka ini adalah masa depan negara. Mereka adalah aset dan selepas daripada anak-anak itu diselamatkan, kita buat intervensi dan kita serahkan kembali kepada keluarganya sebab kita menyokong kepada program ‘deinstitutionalization.’

Kita tak akan masuk ke dalam institusi tapi kita galakkan keluarga untuk bantu.

Satu lagi kisah yang saya tak boleh lupa ialah apabila saya dalam perjalanan ke mesyuarat, saya terima panggilan ada kes anak gelandangan di tepi jalan, masih lagi tidur.

Apabila saya menghampiri kawasan tersebut, saya lihat ada seorang gadis bersama seorang bayi yang kecil tidur berlantaikan simen berbumbungkan langit dan bila saya jengah di sebelahnya ada sebuah kereta yang pintunya terbuka, saya melihat ada lima orang anak lelaki tidur bergelandangan di dalam kereta.

Jadi bila kejutkan anak-anak itu, tanya cerita yang sebenar, mereka memaklumkan ini sebahagian daripada adik-adik dan ada lagi enam orang di kampung. Saya dapati dua orang dari mereka adalah OKU, ada seorang berusia 12 tahun dan seorang lima tahun dan seorang lagi lapan bulan. Bila saya tanya mak ke mana, ayah ke mana, dia menjawab keluar untuk menguruskan harta yang disita pihak berkuasa kerana berniaga tanpa premis.

Yang menyayat hati ialah apabila anak-anak itu berada dalam situasi yang tidak sepatutnya ekoran kegagalan fungsi keluarga membekalkan kemudahan sewajarnya kepada anak-anak itu. Ia adalah salah satu daripada desakan hidup di kota raya apabila keluarga dihalau kerana tidak mampu membayar rumah.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 8:03am
d