utama

Gadis tak takut tangkap, peluk buaya [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

KEBERANIAN seorang gadis yang menangkap dan bergambar bersama seekor buaya mendapat perhatian ramai apabila gambar dan videonya dimuat naik di laman sosial Facebook sejak Selasa lalu.

Buaya berkenaan ditangkap Azy Nadia Aziz, 22, pada 6.30 petang Isnin minggu lalu di belakang rumahnya di Kota Bharu.

Gambar dan video dimuat naik itu mendapat maklum balas netizen termasuk ada yang mengecamnya.

Azy Nadia berkata, dia menemui buaya itu di atas darat di belakang rumahnya.

Katanya, memandangkan di belakang rumahnya mempunyai sungai kemungkinan buaya itu tinggal di sungai itu dan naik sekejap ke darat.

“Saya lihat buaya itu dalam keadaan tidak bergerak dan tidak agresif lalu menangkapnya dan membawa masuk ke dalam rumah.

“Saya sempat bergambar dengan meletakkan binatang itu di atas bahu dan mengambil beberapa video sebelum melepaskannya semula ke sungai pada malam itu juga,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, gambar dan video itu dimuat naik di laman Facebook miliknya Selasa lalu dan mendapat perhatian daripada netizen.

Menurutnya, ada netizen yang memuji dan ada mengecam kerana mereka salah faham menyangkakan dia memelihara binatang itu.

“Kepada netizen saya minta mereka tidak terus mengecam kerana saya tidak memelihara binatang itu dan hanya memegangnya selepas ditangkap di belakang rumah,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 10:09pm
d