utama

'Istana senget' tengah paya

Oleh Mohamed Farid Noh

BATU PAHAT: Seorang ibu sarat mengandung di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, hanya mampu berserah dengan kehidupan daif keluarganya yang tinggal di pondok senget dan hampir runtuh.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Lizawati Hashim, 36, yang hanya menunggu masa melahirkan anak keempatnya cemas apabila suaminya berusia 44 tahun terlantar di hospital sejak sebulan lalu akibat serangan jantung dan kini disahkan mengalami kanser peti suara menyebabkan keluarganya hilang tempat bergantung.

Kehidupan wanita Orang Asli berkenaan semakin sukar selepas suaminya koma dua hari, minggu lalu dan dipindahkan ke Hospital Melaka menyebabkan beliau tidak mampu menjaga atau menjenguk suaminya.

Pondok hampir runtuh didiami keluarga Lizawati itu didirikan di atas tanah rizab Jabatan Saliran dan Pengaliran (JPS) yang memberi ihsan buat mereka tumpang berteduh.

Lebih memilukan, keadaan pondok Lizawati bukan saja tidak sesuai didiami atas faktor keselamatan kerana senget dan hampir menyembah bumi. Malah, ruangan dalam rumahnya juga digenangi air laut pasang hingga peralatan rumahnya kelihatan terapung selain sampah dari laut yang hanyut memenuhi persekitaran rumah.

“Macam inilah keadaan rumah kami encik, bila air pasang, air laut masuk sampai paras lutut. Kebanyakan peralatan rumah termasuk tilam sentiasa basah digenangi air laut, namun kami empat beranak termasuk tiga anak berusia 14 hingga tujuh tahun sudah biasa hidup susah.

“Kami sekeluarga tidur atas tong kosong yang disusun dan dialas kotak serta diikat pada dinding supaya bila air laut masuk ke dalam rumah, kami tidak ditenggelami air laut.

“Persediaan tiga anak ke sekolah pun tiada, namun bersyukur ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin menyumbangkan baju dan kasut sekolah. Cuma saya tidak mampu membayar yuran dan membelikan buku tulis untuk anak,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Malik Faishal Ahmad meninjau keadaan rumah Lizawati selain membantu membayar yuran dan membeli keperluan sekolah untuk tiga anaknya.

Sementara itu, Lizawati berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga maklum beliau sekeluarga tinggal di pondok senget dan daif serta menumpang di tanah rizab JPS sejak lapan tahun lalu.

“JAKAO berjanji membina rumah di kawasan berdekatan jika ada peruntukan Jun depan, namun jika tiada mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

“JAKOA mencadangkan saya sekeluarga menumpang di stor sekolah agama berhampiran atau surau buat sementara. Tetapi atas faktor keselamatan dan tidak mahu mengganggu murid sekolah serta jemaah surau, biar kami kekal di sini, ” katanya.

Ditanya bagaimana persediaan beliau melahirkan anak keempat dalam suasana kediaman yang daif dan tidak sesuai untuk membesarkan bayi, Lizawati berkata, beliau hanya mampu berserah kepada takdir.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 8:08am
d