utama

Enggan keruh keadaan

Oleh Mahaizura Abd Malik 

KUALA LUMPUR: “Terima kasih atas jemputan itu, tetapi kali ini saya terpaksa menolak kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan,” kata jutawan kosmetik Safiey Illias.

Safiey atau nama sebenarnya Safiuddin berkata, dia sentiasa terbuka menerima teguran dan nasihat daripada sesiapa, namun demi kebaikan bersama dia terpaksa menolak pelawaan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bertemu dengannya.

“Saya tiada masalah hendak jumpa (Mufti Wilayah Persekutuan). Sebelum ini pun kami pernah jumpa dan dia memang baik.

“Surat jemputan itu pun saya tengok elok saja bahasanya dan penuh kasih sayang cuma saya tak mahu masyarakat terus mengecam dan memberikan pendapat negatif terhadap saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Katanya, pendirian itu diambil selepas dia belajar daripada pengalaman sebelum ini apabila ramai pihak terlalu mengharapkan perubahannya dan tidak kurang juga mempersendakannya.

“Masyarakat akan menilai selepas jumpa mufti ke orang agama ke saya akan berubah menjadi lelaki sedangkan saya belum bersedia.

“Malah, ada juga yang terus mengecam dan mengaitkan ia gimik mempromosikan produk saya.

“Jadi lebih baik saya berdiam diri (tak mahu jumpa),” katanya.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar jutawan kosmetik itu berpenampilan seksi ketika bercuti di sebuah pulau peranginan.

Susulan itu, Jumaat lalu, Dr Zulkifli menulis surat terbuka menjemput Safiey datang ke pejabatnya bagi bertukar-tukar pandangan dalam usaha membantu pemuda itu ke arah kebaikan.

“Saya tidak pasti sama ada ruang yang tersedia ini sesuai atau tidak. Namun, saya dengan rendah hati menjemput saudara ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk kita bertukar-tukar pandangan, berkongsi rasa hati dan mungkin ada sudut yang boleh saya bantu untuk kebaikan bersama.

“Pada dasarnya, saya cuba memahami perasaan dan kehendak saudara. Mungkin boleh sama-sama kita duduk mengeteh dan berbincang secara santai untuk kebaikan kita semua. Saya tunggu jawapan saudara,” tulisnya dalam catatan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 8:30am
d